Aksi graduan bergambar cium buaya 4.2 meter tular

Aksi Kat mencium buaya tular di media sosial. Foto: Agensi
Aksi Kat mencium buaya tular di media sosial. Foto: Agensi
A
A
A

TEXAS – Seorang graduan universiti di Amerika Syarikat (AS) mencuri perhatian di media sosial selepas menjalani sesi fotografi tamat pengajian bersama seekor buaya sepanjang 4.2 meter, termasuk aksi mencium haiwan reptilia itu.

Kat Daley, 22, pelajar Universiti McNeese State memilih buaya bernama Big Al sebagai ‘pasangan’ unik dalam sesi fotografi graduasinya di Beaumont, Texas.

Antara gambar yang tular menunjukkan Daley mencium muncung buaya tersebut ketika mulut haiwan itu terbuka luas hanya beberapa sentimeter dari wajahnya.

Daley berkata, dia tidak berasa takut kerana sudah lama bekerja dengan reptilia berkenaan di taman hidupan liar Gator Country yang diuruskannya bersama tunang, Eddie.

“Saya mahu menunjukkan apa yang saya lakukan setiap hari bersama haiwan ini dan betapa pentingnya mereka dalam hidup saya,” katanya kepada New York Post pada Ahad.

Menurutnya, buaya sering digambarkan secara negatif sedangkan haiwan itu tidak seagresif yang disangka ramai jika tidak diganggu manusia.

Daley mula terlibat dalam kerja pemulihan hidupan liar sejak berusia tujuh tahun.

Jurufoto tersebut, Laura Oglesbee berkata, buaya yang digunakan sudah dilatih dan biasa berinteraksi dengan manusia.

“Ia bukan buaya liar biasa. Big Al dan Big Tex telah lama dilatih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain bergambar bersama buaya, Daley turut merakam gambar dengan ular tedung kayu berbisa.

Gator Country yang terletak kira-kira 128 kilometer dari Houston menempatkan sekitar 450 ekor buaya dan menjadi pusat utama pemindahan buaya liar bermasalah di Texas.

Daley yang baru menamatkan pengajian dalam bidang pengajian am dan sains semula jadi berkata, dia bercadang meneruskan kerjayanya di taman hidupan liar itu kerana menganggapnya sebagai pekerjaan impian. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!