78 tahun kempen pembersihan etnik penduduk Palestin

NAKBA yang dikenang setiap tanggal 15 Mei bukan sekadar peristiwa sejarah sebaliknya merupakan tragedi yang berterusan dengan perang ganas tanpa noktah di Genting Gaza menjadi salah satu manifestasi terkininya.
Malapetaka tersebut bukan hanya melibatkan pengusiran penduduk Palestin pada tahun 1948 kerana kempen pembersihan etnik itu terus berlarutan hingga kini.
Lebih 530 kampung Palestin telah dimusnahkan dan kira-kira 750,000 rakyat Palestin diusir lebih tujuh dekad lalu. Pada hari ini, taktik keganasan terhadap penduduk Palestin masih berleluasa di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

Pihak berkuasa Israel bertindak sewenang-wenangnya melalui pembunuhan, penahanan secara semberono, perluasan penempatan haram serta perampasan tanah di samping siri serangan ganas yang dilancarkan oleh puak pelampau Yahudi terhadap penduduk Palestin.
Nakba disifatkan sebagai sebahagian daripada rancangan penjajahan yang lebih luas dengan matlamat jahat mahu menghapuskan identiti dan mengusir penduduk Palestin dari tanah air mereka.
Penduduk Palestin terus berdepan dengan penderitaan yang sama seperti yang dialami oleh generasi terdahulu hampir lapan dekad lalu dan jumlah korban akibat kekejaman Zionis serta mereka yang kehilangan tempat tinggal terus meningkat

Tiada apa yang berubah selepas 78 tahun, penduduk Palestin terus diusir, dinafikan hak, dibom tanpa perikemanusiaan, dibiarkan kebuluran dan kewujudan mereka cuba dihapuskan Israel.
Sebahagian besar daripada mereka yang merupakan waris keturunan mangsa peristiwa Nakba pada 1948 masih menetap di kem pelarian di Tebing Barat yang kini dirobohkan dan 'bandar khemah' di Gaza tanpa kemudahan yang sempurna meskipun zaman telah berubah.

Nakba terus berlanjutan kerana ia telah dinormalisasikan. Ia kini diurus secara pentadbiran, dirasionalkan melalui undang-undang dan dilindungi secara politik serta dianggap sebahagian daripada aturan biasa keadaan dunia.
Nakba tidak berakhir pada tahun 1948. Ia terus berlanjutan kerana ideologi yang melahirkannya tidak pernah dibongkar atau dihapuskan.
Bagi penduduk Palestin, Nakba bukan sekadar memori. Ia adalah realiti pahit yang sedang berlaku hari ini dengan kesengsaraan tiada kesudahan terus membelenggu kehidupan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

