Dua lelaki diserang dengan sabit, kapak

Lokasi dua mangsa diserang menggunakan sabit dan kapak di kawasan jambatan berhampiran Blok C, Kampung Sembulan Lama, Kota Kinabalu
Lokasi dua mangsa diserang menggunakan sabit dan kapak di kawasan jambatan berhampiran Blok C, Kampung Sembulan Lama, Kota Kinabalu
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua lelaki diserang menggunakan sabit dan kapak dalam kejadian di kawasan jambatan berhampiran Blok C, Kampung Sembulan Lama, di sini, pada malam Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 39 dan 35 tahun diserang oleh seorang lelaki dikenali sebagai 'Totong'.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa bersama beberapa rakan mereka berada di lokasi untuk membeli minuman.

"Dalam kejadian tersebut, berlaku salah faham dengan seorang lelaki tempatan yang dikenali sebagai 'Totong' dan susulan daripada itu, satu pertengkaran telah tercetus sebelum suspek dipercayai pulang ke rumah untuk mengambil senjata tajam iaitu sabit dan kapak.

"Suspek kemudian kembali semula ke lokasi kejadian lalu menyerang kedua-dua mangsa dan menyebabkan mangsa pertama, cedera di bahagian belakang leher dan kaki, manakala mangsa kedua, cedera di bahagian leher serta lengan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dua lelaki diserang menggunakan sabit dan kapak dalam kejadian di kawasan jambatan.
Dua lelaki diserang menggunakan sabit dan kapak dalam kejadian di kawasan jambatan.

Katanya lagi, kedua-dua mangsa telah mendapatkan rawatan lanjut di hospital berhampiran dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Pihak polis telah menjalankan pemeriksaan di lokasi selain merakam percakapan pengadu dan beberapa saksi bagi membantu siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Usaha mengesan dan menahan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Kasim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!