YKAT bantu artis terjejas akibat Covid-19

Hamid Gurkha kelihatan gembira menerima sumbangan bantuan Covid-19 berupa barangan runcit daripada YKAT.
Hamid Gurkha kelihatan gembira menerima sumbangan bantuan Covid-19 berupa barangan runcit daripada YKAT.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) terus aktif melakukan kerja-kerja kebajikan bagi membantu artis-artis tanah air dan keluarga mereka yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

YKAT dalam satu kenyataan berkata, pada 6 April lalu pihaknya menyampaikan sumbangan kepada beberapa artis pelbagai kaum termasuk Hamid Gurkha, Papa Rawi, Mak Jah, Kogilarani, Balakrishnan, Alfred Ho, Lim Kong Tuck dan Goh Cheng Hock.

Kenyataan itu turut menyebut antara sumbangan berkenaan ialah beras, susu, gula, tepung, bawang, cili dan makanan dalam tin.

"Sumbangan termasuk dana daripada kerajaan sejak penubuhan YKAT pada tahun 2012.

"Dana tersebut digunakan secara berhemah oleh pengurusan YKAT untuk menjalankan pelbagai aktiviti seni dan kebajikan artis tanah air," katanya.

Pengurusan YKAT dianggotai tujuh pemegang Amanah antaranya Datuk DJ Dave, Datuk M Nasir, Datuk Yusof Haslam dan Datuk Nancie Foo.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam tempoh PKP ini, YKAT bersetuju membantu artis yang benar-benar memerlukan dan sumbangan dihantar secara terus kepada artis yang memerlukan dengan kerjasama sebuah pasar raya.

"YKAT berharap sumbangan itu dapat meringankan beban mereka," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: