Kapten tentera Israel maut dalam serangan dron Hizbullah

Kapten Maoz Israel Recanati maut dalam serangan dron di selatan Lubnan. Foto Agensi
Kapten Maoz Israel Recanati maut dalam serangan dron di selatan Lubnan. Foto Agensi
A
A
A

BAITULMAQDIS - Seorang pegawai tentera Israel terbunuh dalam serangan dron membawa bahan letupan di selatan Lubnan ketika pertempuran dengan Hizbullah terus memuncak.

Tentera Israel dalam satu kenyataan memaklumkan Kapten Maoz Israel Recanati, 24, yang merupakan komander platun Batalion ke-12 Briged Golani maut dalam operasi ketenteraan di selatan Lubnan pada Sabtu.

Menurut laporan media Israel, Recanati terbunuh selepas terkena serangan dron dilancarkan Hizbullah dan menjadi anggota tentera Israel ke-20 maut di Lubnan sejak perang dengan Iran bermula pada 28 Februari lalu.

Beliau juga merupakan pegawai kedua diumumkan maut oleh Israel dalam tempoh 24 jam kebelakangan ini dalam pertempuran dengan Hizbullah.

Ancaman dron Hizbullah dilaporkan semakin membimbangkan Tel Aviv apabila serangan udara tanpa pemandu itu dianggap antara cabaran keselamatan paling kompleks dan berbahaya dihadapi tentera Israel ketika ini.

Media tempatan melaporkan kerajaan Israel baru-baru ini mengadakan mesyuarat tergempar bersama pegawai kanan keselamatan bagi membincangkan langkah mengekang ancaman dron Hizbullah susulan peningkatan jumlah korban tentera.

Walaupun gencatan senjata diumumkan pada 17 April lalu dan dilanjutkan sehingga awal Julai, tentera Israel masih meneruskan serangan harian di Lubnan selain berbalas tembakan dengan Hizbullah.

Menurut pihak berkuasa Lubnan, serangan Israel sejak 2 Mac lalu mengorbankan lebih 2,896 penduduk, mencederakan lebih 8,824 orang serta menyebabkan lebih 1.6 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.- Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!