Jepun guna ‘Monster Wolf’ halau beruang

TOKYO - Sebuah syarikat Jepun menerima tempahan tinggi bagi menghasilkan robot serigala berwajah ganas susulan peningkatan mendadak serangan beruang maut terhadap manusia tahun lalu.
Robot dikenali sebagai 'Monster Wolf' itu direka bagi menghalau haiwan liar menerusi bunyi lolongan, geraman dan mata merah berkelip.
Syarikat berpangkalan di Hokkaido, Ohta Seiki memaklumkan menerima sekitar 50 tempahan setakat ini melebihi jumlah biasa yang diterima sepanjang tahun lalu.
Presidennya, Yuji Ohta berkata, peningkatan kes serangan beruang di Jepun menyebabkan orang ramai terutama petani dan pekerja luar bandar mula mencari kaedah lebih berkesan untuk melindungi diri.
"Kami menghasilkan peranti ini secara manual dan ketika ini kami tidak mampu menyiapkannya secepat permintaan diterima.
"Semakin ramai menyedari produk kami berkesan untuk menangani ancaman beruang namun, pelanggan perlu menunggu antara dua hingga tiga bulan,” katanya kepada AFP.
Tempahan kebanyakannya diterima daripada petani, pengendali padang golf dan individu yang bekerja di kawasan luar bandar termasuk sektor pembinaan.
Data rasmi menunjukkan sebanyak 13 kematian akibat serangan beruang direkodkan di Jepun sepanjang 2025 hingga 2026, lebih dua kali ganda berbanding rekod tertinggi sebelum ini.
Pada masa sama, lebih 50,000 penampakan beruang dilaporkan di seluruh negara, sekali gus memecahkan rekod terdahulu yang dicatatkan dua tahun lalu.
Haiwan liar itu dilaporkan semakin berani memasuki rumah penduduk, berkeliaran berhampiran sekolah serta muncul di pasar raya dan pusat peranginan air panas hampir setiap hari.
Ohta memperkenalkan produk tersebut pada 2016 dengan harga bermula sekitar AS$4,000 (RM18,000).
Kini syarikat itu sedang menaik taraf 'Monster Wolf' dengan memasang roda supaya ia boleh mengejar haiwan atau meronda di laluan tertentu.
Pihaknya turut merancang menghasilkan versi mudah alih untuk pendaki, pemancing dan murid sekolah selain meneroka penggunaan kamera kecerdasan buatan (AI) bagi model masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
