Remaja maut selepas jadikan ular berbisa mainan

JAKARTA – Tindakan seorang remaja menjadikan seekor ular berbisa sebagai mainan mengundang padah apabila dia maut dipatuk reptilia tersebut dalam kejadian di Desa Pasir Jaya, Bogor Barat, Jawa Barat pada Selasa malam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam waktu tempatan, mangsa dikenali sebagai UZS, 18, meninggal dunia manakala rakannya, H, 21, kini kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi hospital.
Menurut laporan, kedua-dua mangsa sedang melepak berhampiran kawasan sawah sebelum menemui seekor ular berbelang hitam putih.
Mangsa kemudian dipercayai mengambil dan bermain dengan ular tersebut tanpa menyedari ia merupakan spesies ular sangat berbisa dikenali sebagai ular katam tebu atau Malayan krait.
Pakar reptilia Institut Pertanian Bogor (IPB), Profesor Mirza Dikari Kusrini berkata, ular katam tebu mengandungi neurotoksin yang menyerang sistem saraf dan boleh menyebabkan kelumpuhan otot termasuk sistem pernafasan.
Beliau berkata, spesies itu tergolong antara ular paling berbisa di Asia Tenggara.
Dalam pada itu, Ketua Desa Pasir Jaya, Rizki Dwi Nugraha berkata, ular tersebut tiba-tiba bertindak agresif sebelum mematuk kedua-dua mangsa.
“Pada mulanya mereka tidak sedar ular itu berbahaya. Ular tersebut secara tiba-tiba menyerang,” katanya seperti dipetik TribunnewsBogor.com.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa sempat pulang ke rumah selepas kejadian sebelum menunjukkan simptom serius beberapa jam kemudian.
“Mereka mula mengalami simptom seperti dehidrasi dan keadaan menjadi semakin lemah sebelum dibawa ke hospital. Mangsa juga dilaporkan pucat ketika kesan bisa mula merebak menjelang waktu subuh,” katanya.
Mangsa yang meninggal dunia disahkan maut ketika menerima rawatan manakala rakannya masih berada dalam keadaan kritikal.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

