Apabila dua pemimpin kuasa besar dunia bertemu

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kanan) berjabat tangan dengan Presiden China, Xi Jinping, di Dewan Besar Rakyat di Beijing. Foto: AFP
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kanan) berjabat tangan dengan Presiden China, Xi Jinping, di Dewan Besar Rakyat di Beijing. Foto: AFP
A
A
A

PRESIDEN China, Xi Jinping memberikan sambutan penuh istiadat kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada hari pertama lawatan yang dilihat berpotensi membentuk semula hubungan antara dua kuasa besar dunia itu.

Pasukan kawalan kehormat tentera China berbaris di luar Dewan Besar Rakyat bagi menyambut Trump, lengkap dengan tabik hormat meriam dan pancaragam memainkan lagu kebangsaan AS.

Presiden itu turut berhenti dua kali untuk menyapa kanak-kanak sekolah yang melambai bendera China dan AS.

Trump (kanan) dan Jinping memeriksa kawalan kehormatan semasa upacara sambutan rasmi di Dewan Besar Rakyat China.
Trump (kanan) dan Jinping memeriksa kawalan kehormatan semasa upacara sambutan rasmi di Dewan Besar Rakyat China.

Ketika berjabat tangan dengan Jinping, Trump dilihat menepuk lengan pemimpin China itu sebagai tanda mesra sambil melontarkan pujian terhadap tuan rumah.

“Anda seorang pemimpin hebat. Saya katakan perkara itu kepada semua orang,” katanya dalam kenyataan yang dilihat spontan.

Semasa melawat kuil legenda yang dibina pada abad ke-15, Trump turut menyifatkan China sebagai sebuah negara yang indah.

Pada jamuan negara sebelah malam, beliau menyebut pertemuan dan rundingan tersebut sebagai peluang yang amat dihargai.

Artikel Berkaitan:

Trump (kanan) dan Jinping (kiri) melawat kompleks kepimpinan Zhongnanhai di Beijing.
Trump (kanan) dan Jinping (kiri) melawat kompleks kepimpinan Zhongnanhai di Beijing.

Perkembangan itu dianggap luar biasa memandangkan Trump sebelum ini terkenal dengan retorik keras terhadap China.

“Kita tidak boleh terus membiarkan China mempergunakan negara kita dan itulah yang mereka lakukan,” kata Trump dalam kempen pilihan raya pada 2016.

Pada 2020, beliau mendakwa China telah 'mengambil kesempatan terhadap AS seperti tidak pernah dilakukan sesiapa sebelum ini' selain menggelar pandemik Covid-19 sebagai 'virus China'. Sebelum kembali berkuasa, beliau turut berjanji untuk 'membuat China membayar'.

Taiwan dan Iran jadi cabaran utama

Selain perdagangan, isu lain yang membelenggu lawatan itu termasuk konflik Iran serta Taiwan — pulau yang ditadbir sendiri tetapi dituntut Beijing sebagai wilayahnya.

China dilihat sengaja mengatur sambutan besar bagi memikat Trump dan delegasi 30 ketua syarikat utama AS yang mengiringinya sebagai bukti bahawa Beijing masih terbuka kepada kerjasama antarabangsa.

Jinping (kiri) memandang Trump ketika menghadiri jamuan negara di Dewan Besar Rakyat.
Jinping (kiri) memandang Trump ketika menghadiri jamuan negara di Dewan Besar Rakyat.

Namun tidak lama selepas rundingan bermula, media rasmi China menyiarkan kenyataan Jinping yang memberi amaran bahawa ketegangan berkaitan Taiwan boleh membawa kepada konflik antara kedua-dua negara.

Penganalisis Hubungan AS-China di Asia Society, John Delury berkata, dunia kini sedang menyaksikan perubahan besar dalam keseimbangan kuasa global.

“Kita sedang menyaksikan perubahan bersejarah. Kebangkitan China kini benar-benar mencabar kedudukan AS,” katanya.

Perarakan kenderaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menuju ke Taman Zhongnanhai di Beijing.
Perarakan kenderaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menuju ke Taman Zhongnanhai di Beijing.

China mahu tunjuk kekuatan global

Jinping juga dilihat cuba menampilkan dirinya sebagai pemimpin global yang stabil berbanding Trump yang sering dianggap sukar dijangka.

China sejak beberapa tahun kebelakangan ini memperkukuh kedudukan ekonomi dan diplomatiknya sebagai persediaan menghadapi tekanan tarif tambahan daripada Washington.

Jinping (kanan) dan Trump melawat 'Kuil Syurga' di Beijing.
Jinping (kanan) dan Trump melawat 'Kuil Syurga' di Beijing.

Tahun lalu, Beijing bertindak balas terhadap tindakan Trump dengan mengenakan tarif balas dan mengehadkan eksport nadir bumi yang penting untuk sektor pembuatan berteknologi tinggi.

China kini menghasilkan kira-kira satu pertiga daripada barangan dunia, memproses lebih 90 peratus mineral nadir bumi dan menghasilkan antara 60 hingga 80 peratus panel solar, turbin angin serta kenderaan elektrik global.

Trump (kanan) dan Jinping (kiri) menyapa kanak-kanak yang mengibarkan bendera kebangsaan China dan Amerika Syarikat serta bunga semasa upacara sambutan rasmi di Dewan Besar Rakyat di Beijing.
Trump (kanan) dan Jinping (kiri) menyapa kanak-kanak yang mengibarkan bendera kebangsaan China dan Amerika Syarikat serta bunga semasa upacara sambutan rasmi di Dewan Besar Rakyat di Beijing.

Walaupun kritikan terhadap rekod hak asasi manusia China dan hubungannya dengan Moscow serta Pyongyang masih berterusan, isu tersebut dilihat semakin tenggelam ketika Trump mengubah landskap geopolitik dunia.

Keadaan itu menyebabkan ramai melihat keseimbangan kuasa dunia kini semakin memihak kepada China.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!