APM Negeri Sembilan terima 1.07 juta topeng muka

Fazlisyah (kiri) melihat kerja-kerja pembungkusan semula topeng muka untuk diagihkan kepada penduduk di negeri ini.
Fazlisyah (kiri) melihat kerja-kerja pembungkusan semula topeng muka untuk diagihkan kepada penduduk di negeri ini.
A
A
A

SEREMBAN - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan menerima sebanyak 1.07 juta topeng muka daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk diagihkan secara percuma kepada isi rumah di negeri ini.

Pengarahnya, Fazlisyah Muslim berkata, pihaknya sedang proses membungkus semula topeng muka berkenaan dan dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga hari.

"APM selaku Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri diberi tanggungjawab untuk membuat pengedaran dan saya jangkakan prosesnya mengambil masa seminggu.

"Memandangkan kita terima dalam kuantiti yang banyak, kita buat keputusan untuk buat pembungkusan semula ikut kuantiti diterima oleh setiap isi rumah bagi memastikan proses pengagihan ke setiap daerah berjalan lancar," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, bagi kerja-kerja pembungkusan, pihaknya mendapat bantuan daripada sebuah syarikat swasta di sini yang menawarkan khidmat pekerjanya secara percuma.

Katanya, topeng muka itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang dipengerusikan pegawai daerah sebelum diedarkan kepada penduduk melalui Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK).

"Memandangkan daerah Seremban dan Rembau dikategorikan sebagai zon merah, kita akan beri keutamaan kepada kawasan ini dahulu.

"Jadi saya harap masyarakat bersabar kerana topeng muka yang diberi kerajaan ini akan sampai kepada anda," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian melaporkan kerajaan akan mengagihkan 24.62 juta topeng muka secara percuma kepada setiap isi rumah di negara ini seperti yang disyorkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, topeng muka itu dibeli oleh kerajaan untuk diedarkan kepada rakyat.