Fahmi Zainol fail representasi baharu gugur kes cederakan isteri

Fahmi
Fahmi
A
A
A

BALIK PULAU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol yang berdepan pertuduhan mencederakan isterinya pada Februari lalu akan mengemukakan satu lagi representasi kepada pihak pendakwaan bagi menggugurkan kes berkenaan.

Peguamnya, Dr Shamsher Singh Thind berkata, langkah itu dibuat selepas pihak pembelaan menerima dokumen penuh daripada pihak pendakwaan termasuk dokumen berkaitan kes.

Menurutnya, pihaknya turut memohon mahkamah menetapkan satu tarikh untuk keputusan representasi tersebut diputuskan.

“Kami memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami akan mengemukakan satu lagi representasi supaya kes terhadap anak guam saya digugurkan selepas memperoleh semua dokumen berkaitan.

“Kami juga memohon mahkamah menetapkan satu tarikh untuk keputusan representasi itu,” katanya selepas prosiding di Mahkamah Majistret Balik Pulau pada Khamis.

Bagaimanapun, katanya, mahkamah mengekalkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu pada 18 Ogos depan.

“Sekiranya representasi diterima, kami akan menulis kepada mahkamah bagi menetapkan tarikh lebih awal untuk melupuskan kes,” katanya lagi.

Terdahulu, Fahmi hadir ke mahkamah kira-kira jam 9 pagi bersama peguamnya.

Dalam prosiding pada 28 April lalu, Majistret Chia Huey Ting menetapkan 18 Ogos sebagai tarikh perbicaraan selain menetapkan 14 Mei (Khamis) bagi penyerahan dokumen termasuk laporan perubatan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Shamsher meminta kes itu diteruskan tanpa penangguhan lanjut dengan alasan penangguhan selama dua bulan sebelum ini sudah terlalu lama.

Beliau turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pengadu telah membuat dua laporan polis iaitu sebelum dan selepas kejadian selain terdapat cubaan untuk menarik balik laporan tersebut.

Katanya, pengadu juga merupakan saksi utama pihak pendakwaan.

Pada 27 Februari lalu, Fahmi didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar, 35, dan mengaku tidak bersalah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 10 malam pada 22 Februari lalu di sebuah rumah di Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!