Status Islam 137 Orang Asli perlu diputuskan perbicaraan penuh - Hakim

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu memutuskan bahawa saman dikemukakan 137 Orang Asli etnik Bateq Mayah untuk mendapatkan perisytiharan bukan beragama Islam perlu diputuskan melalui perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) selaku perayu.
Mahkamah turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa pengislaman 137 responden itu ‘void ab initio’ atau tidak sah sejak permulaan kerana perkara itu mesti diputuskan dalam perbicaraan.
“Kami mendapati keputusan Mahkamah Tinggi tidak boleh dipertahankan lalu mahkamah membenarkan rayuan untuk mengetepikan perintah berkenaan.
“Isu mengenai bidang kuasa akan diputuskan dalam perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi,” katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.
Panel kemudian tidak membuat sebarang perintah berhubung kos memandangkan kes itu berkepentingan awam.
Semasa hujahan, peguam Norazli Nordin yang mewakili Muip berkata, tuntutan semua responden perlu dibuat di Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rendah Syariah.
Menurutnya, ini kerana semua responden telah memeluk Islam semasa program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan diislamkan oleh seorang ustaz pada masa berkenaan.
Beliau berkata, mereka telah mengucap dua kalimah syahadah selepas diterangkan sifat dan akibat pengucapan itu termasuk elemen kerelaan hati oleh ustaz tersebut.
“Responden pertama sehingga ke-56 tidak menafikan sama sekali bahawa mereka mengucap dua kalimah syahadah.
“Memandangkan tiada penafian secara jelas bahawa mereka mengucapkan syahadah, maka secara implikasinya responden mengakui telah memeluk Islam dengan sempurna.
“Terdapat kad perakuan memeluk Islam oleh beberapa responden selain ada akuan janji serta bukti bahawa mereka merupakan Muslim berstatus mualaf,” katanya.
Dengan kata lain, beliau berkata, apabila seseorang telah menganut Islam maka proses untuk keluar daripada agama itu jatuh kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sementara itu, peguam A Surendra Ananth yang mewakili responden menghujahkan bahawa responden dan penduduk kampung tidak pernah menganut atau mengamalkan Islam pada bila-bila masa.
Menurutnya, mereka masih menganut dan mengamalkan kepercayaan budaya dan agama kumpulan Orang Asli yang boleh digambarkan sebagai ‘animisme’.
“Penduduk kampung tidak melafazkan kalimah syahadah dalam bahasa Arab yang agak mudah difahami.
“Walaupun buta huruf, mereka tidak tahu atau memahami maksudnya,” kata peguam itu.
Responden pertama hingga ke-56 merupakan Orang Asli daripada etnik Bateq Mayah yang menetap di Kampung Benchah Kelubi, Merapoh, Pahang sementara responden ke-57 hingga ke-137 merupakan anak serta cucu mereka yang tinggal di kawasan sama.
Mereka terdiri daripada 87 dewasa dan 50 remaja serta kanak-kanak berusia dua hingga 18 tahun pada waktu permohonan difailkan, dengan 58 daripada 87 dewasa telah meninggal dunia.
Pada September 2022, seramai 137 responden memohon tiga perkara di Mahkamah Tinggi Kuantan iaitu pertama, deklarasi status agama mereka sebagai bukan penganut Islam.
Kedua, penukaran agama beramai-ramai secara paksa pada waktu itu sebagai tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.
Permohonan ketiga ialah mereka mahu mengekalkan identiti serta budaya asal tanpa status Islam dalam kad pengenalan.
Mereka menamakan pegawai Pejabat Kemajuan Orang Asli Daerah Lipis, Bakar Unus; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli; Muip; Kerajaan Pahang dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Pada 12 Disember 2022, Muip kemudiannya memfailkan notis permohonan untuk mendapatkan deklarasi bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan responden.
Muip berhujah bahawa tuntutan dikemukakan 137 responden itu sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah atau Mahkamah Rendah Syariah Pahang.
Bagaimanapun, pada 21 Mac 2025, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Seri Mohd Radzi Harun yang kini Hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan Muip sekali gus mendorong majlis agama itu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan di sini.
Kes saman itu dijadualkan dibicarakan pada September ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

