Khabar duka dari Downing Street

Boris Johnson
Boris Johnson
A
A
A

SEJAK kemunculannya di China pada penghujung tahun lalu, pandemik koronavirus (Covid-19) kini menular ke hampir seluruh pelosok dunia sekali gus menjejaskan kehidupan banyak manusia tanpa mengenal sempadan usia, jantina, keturunan dan pangkat.

Terbaharu, Downing Street melaporkan Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson terpaksa dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital St Thomas di London kelmarin apabila simptom Covid-19 yang dihidapinya semakin teruk.

Pada 27 Mac lalu Johnson membuat pengumuman bahawa beliau dijangkiti Covid-19 dan mempunyai simptom termasuk suhu badan tinggi dan batuk sejak 11 hari lepas sebelum dibawa ke hospital pada Ahad lalu.

Johnson dalam satu rakaman video memaklumkan mengenai tahap kesihatannya kepada umum baru-baru ini.
Johnson dalam satu rakaman video memaklumkan mengenai tahap kesihatannya kepada umum baru-baru ini.

“Perdana Menteri, (Johnson) tidak menggunakan mesin ventilator, namun beliau diberikan bantuan oksigen,” kata Menteri Kabinet, Michael Gove sambil menambah, sekiranya terdapat sebarang perubahan berhubung kondisi Johnson, negara pasti akan dimaklumkan tentang perkara itu.

Berikutan situasi terbaharu melibatkan Johnson itu, jurucakap Downing Street menyatakan bahawa pemimpin Parti Konservatif itu meminta Setiausaha Luar, Dominic Raab untuk menggalas tugas-tugas beliau sewaktu ketiadaannya.

Dalam pada itu, nilai Pound dilaporkan turut jatuh berbanding Dolar selepas pelabur mendapat berita tentang kesihatan Johnson. Pada ketika ini, 1 Pound bersamaan AS$1.23.

Hal ini merupakan bukti jelas bagaimana virus pembunuh yang setakat ini mencatatkan lebih 1.3 juta kes seluruh dunia dan menghampiri 75,000 kematian, kini mengancam institusi politik UK sekali gus menyebabkan pergolakan dalam kerajaan baharu negara itu.

Artikel Berkaitan:

Seperti manusia lain, Perdana Menteri UK itu juga tidak kebal, namun beliau tidak boleh menunjukkan kelemahan mental atau fizikal pada ketika negara sedang berdepan krisis. Ia sesuatu yang semahu-mahunya dielakkan oleh Downing Street pada ketika ini.

Namun jangkitan virus berbahaya itu menjadikan mustahil bagi Johnson untuk berselindung terutama daripada umum.

Sebaik keputusan dibuat untuk Johnson pergi ke hospital, Downing Street tidak mempunyai pilihan dan mengumumkan berita itu kepada orang ramai, namun pada masa sama khabar angin bertiup kencang mengatakan kesihatan Johnson semakin teruk.

Sekiranya Downing Street menyembunyikan keadaan sebenar kesihatan Johnson, ia bukan kali pertama orang awam dinafikan kebenaran.

Beberapa Perdana Menteri terdahulu negara itu dikatakan mempunyai sejarah enggan mengakui bahawa mereka ‘tidak berkemampuan’ untuk memimpin.

Kebimbangan bahawa kuasa, kredibiliti dan rasa hormat akan pudar sekiranya status kesihatan yang buruk terdedah masih kekal hingga kini.

Bukan sahaja pengundi akan hilang keyakinan, bahkan rakan dalam Kabinet mungkin menghidu peluang untuk merebut kuasa.

Bekas Perdana Menteri UK, Tony Blair, misalnya, enggan mendedahkan masalah jantung beliau kerana bimbang pencabarnya pada ketika itu, Gordon Brown mungkin akan mengambil kesempatan.

Namun di sebalik semua ini, akan tiba masa pihak berkuasa dan perubatan UK terpaksa berterus-terang kepada umum sekiranya keadaan Johnson menjadi semakin serius.

Bagi Johnson sendiri, nasib seakan-akan tidak menyebelahi beliau ketika ini.

Baru empat bulan yang lalu beliau mengetuai kemenangan terbesar Parti Konservatif sejak Margaret Thatcher pada tahun 1987 dan menunaikan janji membawa keluar UK daripada Kesatuan Eropah. Namun kini beliau sendiri sedang bertarung nyawa.

Berbekal ucapan selamat daripada ramai pemimpin dunia termasuk Presiden Donald Trump, Johnson kini berjuang menentang virus membawa maut yang pada awalnya dipandang enteng pemimpin UK itu sendiri.

Donald Trump
Donald Trump

“Beliau (Johnson) lelaki yang hebat. Amat mengejutkan kerana anda tahu apa maknanya, unit rawatan rapi adalah hal besar merujuk kepada apa yang kita katakan (Covid-19). Amat menakutkan,” ujar Trump.

Dalam pada itu, akhbar Daily Mail dalam laporan terbarunya malam tadi memaklumkan yang Johnson kini sudah boleh bernafas tanpa alat bantuan oksigen selain paru-parunya bebas daripada pneumonia.

“Perdana Menteri dalam keadaan stabil dan penuh bersemangat,” kata jurucakap Downing Street.