Sinergi USM, PDRM angkat profesionalisme penguatkuasaan

Adam Adli ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Sains Malaysia dan Polis Diraja Malaysia pada Selasa.
Adam Adli ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Sains Malaysia dan Polis Diraja Malaysia pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama berterusan antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh profesionalisme institusi penguatkuasaan menerusi pemerkasaan ilmu akademik dan teknikal.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan lebih banyak kerjasama strategik dapat diwujudkan antara institusi pendidikan tinggi (IPT) dan agensi penguatkuasaan pada masa depan.

Menurutnya, hubungan antara USM dan PDRM bukan perkara baharu kerana kerjasama tersebut telah terjalin sejak tahun 2016 dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Ini adalah satu perkembangan yang sangat baik dan saya harap ia dapat diteruskan sebagai wadah dalam kita mengangkat institusi-institusi dalam negara.

“Ia tidak terhad kepada penguatkuasaan semata-mata, tetapi juga pemerkasaan berdasarkan disiplin ilmu dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Sains Malaysia dan Polis Diraja Malaysia di sini pada Selasa.

Adam Adli berkata, USM terus menjadi antara institusi utama dalam membantu memperkasakan sektor-sektor kritikal dalam PDRM, khususnya melibatkan bidang sains forensik.

Katanya, kepakaran akademik yang dimiliki universiti itu mampu membantu meningkatkan tahap profesionalisme anggota dan pegawai PDRM melalui input serta latihan berkualiti.

“Sinergi yang telah berlangsung bertahun-tahun ini seharusnya dirakyatkan.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga berterima kasih kepada pihak PDRM atas kepercayaan mereka terhadap institusi pendidikan tinggi kita, khususnya USM,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap kejayaan kolaborasi tersebut dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama rentas agensi melibatkan IPT lain di seluruh negara bagi memperkukuh pembangunan modal insan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!