Gadis zirafah Padang Kota

GEORGE TOWN - Di sebalik kostum zirafah yang mencuit hati dan belon berwarna-warni yang dibentuk pelbagai rupa, tersimpan kisah seorang gadis muda yang menjadikan kegembiraan orang lain sebagai kepuasan diri.
Pada usia 18 tahun, Nurarisya Natasya Mohamad Jasli bukan sekadar menjual belon sebaliknya menghadiahkan senyuman kepada kanak-kanak yang ditemuinya hampir setiap hari di sekitar Padang Kota di sini.
Anak kedua daripada tiga beradik yang berasal dari Sungai Ara itu mula menceburi aktiviti tersebut kira-kira dua tahun lalu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Minatnya tercetus secara semula jadi, hasil pemerhatian terhadap bapanya yang terlebih dahulu melakukan perkara sama.
“Tiada siapa paksa saya buat kerja ini. Saya sendiri nak buat sebab tengok ayah buat nampak seronok. Saya suka layan budak-budak bagi mereka gembira,” katanya.
Menurut Nurarisya, kemahiran membentuk belon tidak mengambil masa lama untuk dikuasai.
Daripada sekadar melihat, Nurarisya mula belajar secara perlahan-lahan.
Dalam tempoh kurang sebulan, dia sudah mampu menguasai teknik asas membentuk belon dan menghasilkan pelbagai bentuk seperti pistol, pedang, hati, lolipop, rama-rama dan bunga.
Namun, proses pembelajaran itu bukan tidak juga begitu mudah, ada cabarannya.
“Belon pecah masa belajar itu biasa, sebab kadang-kadang terlalu keras. Mula-mula takut juga kalau kena muka, tetapi lama-lama dah biasa,” ujarnya sambil tersenyum.
Lebih menarik, Nurarisya tidak menetapkan harga bagi setiap belon yang diberikan.
Sebaliknya, dia memilih konsep sumbangan ikhlas tanpa paksaan.
“Saya tak jual. Orang bagi ikut suka hati mereka. Nak bagi atau tidak pun tak apa,” jelasnya.
Bagaimanapun, pendekatan itu kadangkala mengundang reaksi berbeza daripada orang ramai khususnya ibu bapa.
“Ada juga ibu bapa yang tak suka bila saya bagi belon kepada anak mereka.
"Ada yang tarik anak, muka pun nampak tak suka. Jadi saya faham dan hormat,” katanya.
Walaupun berdepan situasi sedemikian, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkongsi kegembiraan.
Setiap hari, Nurarisya berada di lokasi tersebut seawal jam 5.30 petang hingga tengah malam, lengkap dengan kostum yang dibelinya sendiri pada harga sekitar RM60 hingga RM70.
“Memang panas pakai kostum, tapi sebab minat saya teruskan juga,” katanya.

Dia menambah, pendapatan hariannya pula tidak menentu, sekitar bawah RM100 pada hari biasa dan boleh mencecah RM200 pada hujung minggu.
Jelasnya, wang tersebut digunakan untuk keperluan sendiri, selain berkongsi sedikit dengan keluarga.
Menariknya, aktiviti itu turut menjadi usaha bersama keluarga.
Bapanya, Mohamad Jasli Mohamad Ali, 44, yang sebelum ini pernah mengayuh beca, kini turut melakukan perkara sama malah kadangkala mengenakan kostum adiwira untuk menarik perhatian kanak-kanak.
Ibunya, Siti Zubaidah Mad Rani, 44, pula membantu dengan berniaga di kawasan sama.
Nafi tanggung keluarga
Dalam pada itu, Nurarisya menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dia menanggung keluarga sepenuhnya melalui hasil tersebut.
“Itu tidak betul. Keluarga saya juga bekerja. Saya buat ini lebih kepada minat dan untuk duit poket,” katanya.
Selain beroperasi di lokasi tetap, Nurarisya juga menerima tempahan untuk majlis seperti sambutan hari lahir dan program sekolah dengan kadar sekitar RM150 sejam.
"Kalau ada orang nak buat tempahan, mereka akan hubungi saya awal. Biasanya lima hari sebelum acara,” jelasnya.
Walaupun belum mempunyai perancangan jelas untuk masa depan, Nurarisya berharap dapat terus melakukan sesuatu yang dekat dengan hatinya tanpa perlu berjauhan daripada keluarga.
“Bila tengok mak ayah dan kanak-kanak gembira, itu sudah cukup bagi saya,” katanya.
Bagi Nurarisya, belon mungkin sekadar mainan biasa bagi sesetengah orang namun di tangannya, ia menjadi simbol kecil yang membawa kebahagiaan besar.
"Saya tak tahu sampai bila saya akan buat kerja ini. Buat masa sekarang, saya memang suka buat kerja ini kerana boleh berada dekat dengan keluarga di samping mencari wang poket sendiri," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

