Tidur di celah barang- barang

Keadaan rumah yang sempit menyukarkan Khamsiah untuk menyusun atur barangan di dalam rumah.
Keadaan rumah yang sempit menyukarkan Khamsiah untuk menyusun atur barangan di dalam rumah.
A
A
A

DUNGUN - Ruang rumah yang sempit dan sebahagian lantai sudah reput menyebabkan seorang warga emas, Khamsiah Muda, 64 di Kampung Bukit Chatak di sini terpaksa tidur di celah- celah barang.

Walaupun pernah mendapat bantuan sebanyak RM10,000 yang diperuntukkan kerajaan melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk baikpulih atap rumah, namun tidak dapat menyelesaikan masalah rumahnya yang uzur dan dipenuhi barang.

Khamsiah berkata, dia tinggal di rumah berkenaan sejak berpuluh tahun lalu dan bersendirian sejak arwah suami meninggal dunia 11 tahun lalu.

“Rumah ini sudah terlalu lama, lantai mulai reput dan dinding dimakan anai-anai.

“Sebelum ini kalau hujan memang habis basah kerana atap bocor tetapi sekarang lebih baik setelah bumbung buruk ditukar.

“Di rumah juga tiada kemudahan tandas dan biasanya saya akan ke rumah jiran untuk menggunakan tandas,”katanya.

Keadaan dapur yang tidak tersusun kerana ruang sempit.
Keadaan dapur yang tidak tersusun kerana ruang sempit.

Sayang buang barang - barang tidak diguna

Keadaan warga emas berkenaan agak berserabut kerana tinggal bersama barang-barang yang terlalu banyak dan tidak tersusun.

Artikel Berkaitan:

Ditanya kenapa tidak dibuang barang yang tidak berharga dan tidak digunakan, katanya semua di dalam rumah berkenaan dirasakan penting.

“Di rumah saya tiada almari untuk menyimpan pakaian dan ruang juga sempit membuatkan ia kelihatan padat.

“Bimbang juga sekiranya masuk binatang berbisa seperti ular tetapi setakat ini tidak pernah berlaku kejadian seperti itu,”katanya.

Katanya, dia mendapat bantuan bulanan sebanyak RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi mustahil dapat digunakan untuk baik pulih rumah.

“Wang bantuan digunakan untuk makan dan menyara kehidupan seharian memandangkan saya sudah tidak mampu bekerja.

“Saya tiada anak, adik beradik ada tetapi mereka juga tidak mampu membina rumah yang lebih selesa untuk saya.

“Makan minum ada juga mereka bantu. Jika hari raya atau tertentu, ada jugak wakil rakyat datang hulur sumbangan,”katanya.

Rumah pusaka yang didiami wanita ini juga tidak mempunyai kemudahan tandas.
Rumah pusaka yang didiami wanita ini juga tidak mempunyai kemudahan tandas.

Mahu miliki rumah PPRT

Dalam usia yang semakin lanjut, Khamsiah berharap pihak berwajib membantunya untuk memiliki sebuah rumah yang lebih selesa contohnya menerusi Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Dalam keadaan usia sudah tua, memang tidak mungkin saya mampu beli rumah, tambahan pula keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

“Saya menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi yang memerlukan pemeriksaan berkala.

“Saya sudah ada tanah di tapak rumah ini, oleh itu saya berharap ada peruntukan untuk saya dapat PPRT.

“Rumah ini sudah terlalu uzur dan agak sukar untuk dibaik pulih secara menyeluruh,”katanya.

Sebahagian lantai rumah menunggu masa untuk runtuh kerana papan sudah reput.
Sebahagian lantai rumah menunggu masa untuk runtuh kerana papan sudah reput.

Bantuan baikpulih sudah disalur

Sementara itu, Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, beliau sedia maklum tentang keadaan rumah wanita berkenaan dan bantuan juga sudah disalurkan.

“Bantuan baik pulih rumah sudah disalurkan sebelum ini dan kita masih menilai sekiranya dia layak untuk bantuan seterusnya.

“Bukan wanita ini sahaja tetapi kita lihat keperluan masyarakat secara menyeluruh dan mengikut keutamaan.

“Dari segi rumah yang sempit dan dipenuhi barang-barang, kita nasihatkan dia menyusun atur barang-barang dengan lebih kemas serta teratur

“Kebersihan dan keselamatan juga perlu diutamakan,”katanya.