Israel lancar serangan udara di Beirut

Sebuah bangunan di selatan ibu negara Lubnan menjadi sasaran serangan Israel.
Sebuah bangunan di selatan ibu negara Lubnan menjadi sasaran serangan Israel.
A
A
A

BEIRUT – Israel melancarkan serangan udara ke atas Beirut buat pertama kali sejak gencatan senjata dengan Hezbollah diumumkan bulan lalu, lapor BBC.

Serangan itu mengenai kawasan pinggir selatan Beirut dikenali sebagai Dahieh, kubu kuat Hezbollah.

Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan api marak dan kepulan asap tebal menyelubungi kawasan berkenaan, selain beberapa bangunan dilaporkan mengalami kerosakan teruk.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, operasi berkenaan menyasarkan seorang komander elit pasukan Radwan milik Hezbollah.

Media tempatan melaporkan, anggota elit terbabit dipercayai sedang mengadakan mesyuarat ketika serangan berlaku sekitar jam 8 malam waktu tempatan.

Setakat ini, Hezbollah belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung serangan tersebut.

Serangan itu merupakan yang pertama di Beirut sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Lubnan pada 16 April lalu.

Bagaimanapun, ketegangan antara kedua-dua pihak masih berterusan apabila Israel dan Hezbollah saling menuduh melanggar syarat gencatan senjata.

Tentera Israel mendakwa serangan yang dilancarkan di selatan Lubnan menyasarkan infrastruktur serta anggota Hezbollah yang disokong Iran.

Artikel Berkaitan:

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, lebih 120 individu termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam tempoh seminggu lalu akibat serangan berterusan Israel di negara itu.

Konflik yang semakin memuncak itu turut menyebabkan sebahagian besar penduduk Dahieh masih enggan pulang ke rumah masing-masing kerana bimbang kawasan tersebut kembali menjadi sasaran serangan udara Israel.

Sejak 2 Mac lalu, lebih 2,700 individu dilaporkan terbunuh di Lubnan, manakala Israel mengesahkan kehilangan 16 anggota tentera dan seorang orang awam dalam konflik berkenaan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!