Usaha UPNM membina kepimpinan strategik

Oleh Dr. Norhasni Zainal Abiddin
INSTITUSI pendidikan tinggi memainkan peranan penting dalam melahirkan bakat strategik yang mampu menghadapi cabaran keselamatan dan pembangunan negara pada masa hadapan.
Dunia hari ini berdepan perubahan yang sangat pantas dan semakin kompleks. Persaingan teknologi, ancaman keselamatan siber, ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan ekonomi global menjadikan landskap keselamatan negara jauh lebih mencabar berbanding sebelum ini.
Dalam keadaan sedemikian, kekuatan sesebuah negara tidak lagi bergantung semata-mata kepada aset ketenteraan, tetapi turut bergantung kepada keupayaan negara membangunkan modal insan yang mempunyai pemikiran strategik, kepakaran teknologi serta kepimpinan yang berintegriti.
Dalam konteks ini, institusi pendidikan tinggi memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk generasi pemimpin masa hadapan. Universiti tidak lagi sekadar tempat memperoleh ijazah, sebaliknya menjadi pusat pembangunan idea, inovasi dan pemikiran strategik yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan keselamatan negara.
Peranan ini amat signifikan bagi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang merupakan satu-satunya universiti pertahanan negara. Sebagai institusi pendidikan tinggi yang mempunyai mandat strategik, UPNM bukan sahaja menyediakan pendidikan akademik, malah turut menekankan pembentukan kepimpinan, disiplin serta semangat patriotisme dalam kalangan pelajarnya.
Seiring dengan perubahan landskap global yang semakin kompleks, UPNM kini melangkah ke hadapan melalui pelan strategik jangka panjang yang dikenali sebagai UPNM30. Pelan ini merupakan rangka hala tuju pembangunan universiti sehingga tahun 2030 dengan matlamat untuk memperkukuh peranan UPNM dalam bidang tujahan pertahanan, ketenteraan dan keselamatan yang relevan dengan keperluan negara serta ke arah menjadi sebuah universiti pertahanan premier.
Pelan strategik UPNM30 ini mula dicetuskan oleh Naib Canselor UPNM, Yang Berbahagia Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi bin Haji Ahmad dalam perutusan ulung beliau pada 16 Mei 2025.
Universiti sebagai Pemangkin Pembangunan Negara
Pada abad ke-21, universiti memainkan peranan yang jauh lebih luas daripada sekadar menyediakan pendidikan formal. Ia merupakan institusi yang menjadi pemangkin kepada pembangunan ilmu, teknologi dan kepimpinan strategik.
Banyak negara maju memberi penekanan besar kepada pembangunan universiti sebagai pemacu kemajuan negara. Institusi pendidikan tinggi menjadi tempat lahirnya penyelidikan berimpak tinggi, inovasi teknologi serta kepakaran strategik yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
Malaysia juga tidak terkecuali daripada realiti ini. Dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks, negara memerlukan lebih ramai pakar dalam bidang strategik seperti teknologi pertahanan, keselamatan siber, kejuruteraan sistem, pengurusan krisis serta kepimpinan strategik.
Dalam hal ini, UPNM mempunyai pendekatan pendidikan yang unik kerana ia menggabungkan kecemerlangan akademik dengan pembangunan kepimpinan serta pembinaan jati diri. Gabungan ini penting kerana masa depan keselamatan negara memerlukan individu yang bukan sahaja mempunyai kepakaran teknikal, tetapi juga mempunyai daya kepimpinan, disiplin serta semangat patriotisme yang tinggi.
Memperkasa Kepimpinan Strategik Melalui Kerjasama Institusi
Dalam usaha memperkasa kepimpinan strategik negara, UPNM bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan akademik semata-mata, malah turut memperkukuh kerjasama dengan pelbagai institusi strategik di peringkat nasional.
Salah satu contoh penting ialah kerjasama UPNM dengan Maktab Ketahanan Nasional serta Maktab Turus Angkatan Tentera di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional, Putrajaya dalam menyokong pembangunan kepimpinan strategik dalam kalangan pegawai tentera.
Melalui kerjasama ini, UPNM menyumbang kepada pengukuhan ilmu, pemikiran strategik serta keupayaan kepimpinan pegawai tentera, khususnya dalam menghadapi cabaran keselamatan dan pertahanan negara yang semakin kompleks.
Selain itu, UPNM turut melaksanakan pendekatan Work-Based Learning (WBL) bagi Anggota Lain-Lain Pangkat dalam Angkatan Tentera Malaysia melalui kaedah penilaian berasaskan pengalaman kerja. Pendekatan ini membolehkan anggota memperoleh kelayakan diploma berdasarkan portfolio serta sijil latihan dan kursus yang telah diikuti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Inisiatif ini memberikan pengiktirafan kepada pengalaman dan kompetensi sedia ada anggota, sekali gus menyokong pembangunan modal insan serta memperkukuh keupayaan kepimpinan dan profesionalisme mereka untuk terus menyumbang secara berkesan dalam mana-mana organisasi selepas persaraan.
Kerjasama ini mencerminkan peranan UPNM sebagai rakan strategik dalam memperkukuh ekosistem pembangunan kepimpinan nasional, termasuk dalam melahirkan pegawai yang berupaya berfikir secara menyeluruh dan membuat keputusan secara strategik dalam situasi yang mencabar.
UPNM turut menjalin kerjasama dengan International Aero Training Academy (IATAC) dalam pembangunan program Sarjana Muda Penerbangan. Melalui konsep 2u1i, pelajar berpeluang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Penerbangan serta Lesen Juruterbang Profesional (CPL) secara serentak dalam tempoh tiga tahun, merangkumi dua tahun pembelajaran akademik diikuti satu tahun latihan industri.
Program ini merupakan satu inisiatif penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi juga kemahiran profesional yang memenuhi keperluan industri dan sektor strategik negara.
UPNM30 dan Agenda Pembangunan Negara
Pelan strategik UPNM30 dirangka bagi memastikan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia terus relevan dalam menghadapi perubahan dunia yang pesat. Pelan ini memberi fokus kepada empat teras utama pembangunan universiti, iaitu kesarjanaan, pusat kecemerlangan, penjanaan dan tadbir urus, yang saling melengkapi dalam memperkukuh peranan universiti sebagai institusi strategik negara.
Teras kesarjanaan memberi penekanan kepada usaha memperkukuh ekosistem akademik universiti secara menyeluruh. Ini merangkumi pembangunan mahasiswa yang holistik, pengukuhan kualiti pengajaran dan pembelajaran, peningkatan penerbitan serta penyelidikan berimpak tinggi dalam kalangan pensyarah, serta pengurusan akademik yang berkualiti.
Berdasarkan analisis data SCOPUS, UPNM turut menunjukkan prestasi cemerlang dalam penerbitan berkaitan bidang pertahanan, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam kalangan institusi terkemuka di peringkat global dalam bidang pertahanan.
Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan kesarjanaan universiti, malah memperkukuh peranan UPNM sebagai institusi rujukan dalam pembangunan ilmu dan kepakaran strategik negara.
Teras pusat kecemerlangan pula memberi fokus kepada pembangunan pusat kepakaran yang mampu menyumbang kepada penyelidikan, latihan profesional serta pembangunan teknologi dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan.
Dalam konteks ini, UPNM turut membangunkan pusat kecemerlangan yang menggabungkan elemen penyelidikan, kemudahan latihan serta kepakaran profesional. Antaranya termasuk pusat kecemerlangan dalam sukan menembak dan karate, yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan atlet dan latihan profesional, malah turut berperanan sebagai pusat rujukan kepada mana-mana agensi yang memerlukan kepakaran dalam bidang tersebut.
Pendekatan holistik ini membolehkan universiti memperkukuh ekosistem latihan, penyelidikan dan pembangunan bakat dalam bidang kepakaran yang berkaitan.
Teras penjanaan memberi penekanan kepada usaha memperkukuh kelestarian kewangan universiti melalui kerjasama industri, inovasi serta pembangunan profesional yang mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat dan negara.
Sementara itu, teras tadbir urus menekankan kepentingan pengurusan universiti yang cekap, telus dan berintegriti bagi memastikan setiap strategi pembangunan universiti dapat dilaksanakan secara berkesan dan berimpak tinggi.
Keempat-empat teras ini menjadi asas kepada usaha transformasi universiti dalam memastikan UPNM terus berkembang sebagai institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, tetapi juga relevan dengan keperluan pembangunan negara.
Membina Masa Depan Negara
Pada akhirnya, kejayaan sebenar sesebuah universiti terletak pada kemampuan universiti melahirkan graduan yang mampu memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara serta para sarjana pendidik yang berfikiran kreatif, inovatif serta aktif meneroka dalam memberi sumbangan kepada ilmu dan dapatan baharu dalam penyelidikan.
Graduan UPNM bukan sahaja berkhidmat dalam angkatan tentera, malah turut memainkan peranan dalam pelbagai sektor strategik seperti perubatan, teknologi, kejuruteraan, keselamatan dan pentadbiran awam.
Dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar, negara memerlukan lebih ramai individu yang mempunyai pemikiran strategik, integriti tinggi serta komitmen terhadap kepentingan negara.
Akhirnya, kekuatan sesebuah negara bukan sahaja diukur melalui kekuatan ketenteraannya, tetapi juga melalui keupayaan institusi pendidikannya melahirkan pemimpin yang mampu mempertahankan masa depan negara.
Dalam konteks ini, UPNM30 mencerminkan komitmen Universiti Pertahanan Nasional Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai institusi strategik yang menyumbang kepada pembangunan dan keselamatan negara.
Prof. Datuk Dr. Norhasni Zainal Abiddin ialah Penolong Naib Canselor Kanan (Pembangunan Strategik) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
