Peningkatan ilmu dan kemahiran terkini membentuk tenaga kerja berkualiti

Oleh Dr. Hasan Al-Banna Mohamed
SABAN tahun, tanggal 1 Mei di seluruh dunia akan wujud demonstrasi dan tunjuk perasaan daripada warga pekerja sempena sambutan Hari Pekerja.
Ketidakpuasan hati ini wujud akibat perasaan kecewa dan tidak puas hati terhadap isu-isu yang berlaku di pejabat atau dalam organisasi masing-masing yang membabitkan pengurusan sumber manusia.
Mereka sering menunggu untuk meluahkan pelbagai rasa tidak puas hati tersebut apabila tibanya bulan Mei.
Sesungguhnya, Hari Pekerja ini mempunyai sejarahnya tersendiri. Sejarah Hari Buruh atau Hari Pekerja ini sudah lama bermula sebagai gerakan menuntut hak pekerja di Amerika Syarikat pada 1886 dan kemudiannya diiktiraf secara rasmi di Malaysia sejak 1972 semasa pentadbiran Perdana Menteri Malaysia kedua.
Bermula dari sinilah, hak dan perjuangan para pekerja sentiasa diraikan dan dititikberatkan sebagai tulang belakang ke arah pembangunan organisasi demi mencapai negara maju dengan tenaga kerja yang profesional dan berkualiti.
Namun, dengan tercetusnya fenomena dewasa ini seperti peperangan di Asia Barat, kenaikan kos barangan dan minyak dunia serta pelbagai lagi tribulasi yang wujud, maka isu dan cabaran kepada warga pekerja semakin menjadi tumpuan.
Tambahan pula, pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor awam menjadi salah satu amalan budaya kerja yang baharu. Di samping itu, aspek multi-tasking job (melaksanakan pelbagai tugasan) telah menjadi satu fenomena masa kini.
Majoriti organisasi di dunia dan dalam negara kini bukan lagi menumpukan kepada aspek melakukan kerja secara rutin sahaja atau melakukan kerja yang sama walaupun sudah diberikan kenaikan pangkat dan seumpamanya.
Tambahan lagi, rungutan bakal pekerja yang akan memasuki sektor pekerjaan masa hadapan adalah ketiadaan kerja yang menarik dan bersesuaian, perubahan drastik dalam teknologi digital, kemajuan automasi dan kecerdasan buatan (AI), struktur ekonomi yang sentiasa berubah serta jangkaan dan kehendak pekerja yang semakin kompleks.
Rentetan itu, Pengurusan Sumber Manusia (PSM) yang menjadi tunjang bagi memastikan fungsi modal insan pada masa hadapan perlulah berperanan dengan sebaik mungkin sebagai pemacu strategik yang menentukan daya tahan dan daya saing organisasi serta negara.
Pejabat PSM tidak lagi boleh berdiam diri dan hanya menunggu respons daripada warga pekerja semata-mata. Mereka perlu responsif dan proaktif mencipta inisiatif yang inovatif dalam mengemukakan pelbagai pendekatan terbaik kepada warga pekerja dengan lebih bersistematik, holistik dan berpandangan jauh.
Sebenarnya, jalan penyelesaian terbaik sudah pun ada. Ajaran Islam telah menggariskan panduan yang jelas bagi seseorang individu semasa menjalankan tugasan dan amanah ketika bekerja.
Hal ini penting bagi memastikan hasil akhir yang diperoleh daripada kerjanya itu akan mendapat ganjaran bukan sahaja berbentuk kewangan, tetapi yang lebih utama ialah memperoleh keberkatan dan pahala daripada Allah SWT.
Untuk menjadi pekerja Muslim yang berkualiti, seseorang itu perlu bermula dengan niat dan azam yang jelas serta mempunyai misi dan visi yang ditetapkan sejak awal tahun lagi.
Hal ini kerana niat yang betul dan suci menjadi asas dalam semua agama ketika seseorang melakukan kerja. Contohnya, ajaran Buddha menerusi Jalan Lapan Lapis dengan istilah ‘Samma Sankappa’ menekankan niat dan minda yang bebas daripada sifat negatif.
Tambahan lagi, hadis Rasulullah SAW menegaskan bahawa sesungguhnya segala amalan bermula dengan niat. Dengan amalan sebegini, segala pekerjaan yang dilakukan dengan ikhlas akan diterima sebagai satu ibadat kepada Allah SWT.
Seterusnya, amalan dan budaya itqan (bersungguh-sungguh dan berkualiti) juga harus dijadikan satu kebiasaan dalam kehidupan setiap pekerja. Jangan mengambil mudah, suka bertangguh dan menyelesaikan kerja dengan konsep “asal siap”, “bos kan ada”, “biarlah dia yang semak dan bertanggungjawab” serta pelbagai naratif negatif lain.
Kesemua naratif negatif ini bakal menjadi racun dan perosak kepada amalan kualiti dalam diri pekerja yang akhirnya meruntuhkan kecemerlangan organisasi. Sebab itulah Baginda Rasulullah SAW bersabda dalam hadis daripada Saidatina Aisyah RA yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla menyukai seseorang yang apabila dia melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan itqan (tekun dan bersungguh-sungguh)." (Riwayat al-Baihaqi)
Selain itu, nilai ihsan juga harus dijadikan satu keutamaan bagi setiap pekerja. Elakkan melakukan kerja sambil lewa seperti melepaskan batuk di tangga, seolah-olah bos atau ketua tidak melihat, culas menerima tanggungjawab dan mengelak daripada melakukan kerja.
Hal ini demikian kerana nilai ihsan dalam Islam ialah melakukan sesuatu kerja dengan penuh kesempurnaan dan keikhlasan seolah-olah Allah SWT melihatnya atau menyedari bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikan setiap gerak-gerinya pada setiap masa.
Malah, ihsan turut dijadikan satu nilai dan teras keenam dalam kerangka kemajuan negara masa kini bagi memperkasa keinsanan dan keadilan sosial ke arah pembentukan masyarakat yang beradab tinggi serta berakhlak mahmudah.
Di samping itu, al-Quran juga telah menggariskan beberapa syarat umum yang mesti dijadikan panduan kepada setiap individu pekerja yang ingin berjaya dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi.
Justeru, Surah al-Qasas ayat 26 jelas memberikan contoh semasa Nabi Musa AS dipilih untuk menjadi pekerja. Dalam ayat tersebut dikemukakan dua syarat penting iaitu amanah dan jujur (amin), serta mempunyai keupayaan fizikal yang kuat dan kompetensi yang tinggi (qawiy).
Jika seseorang individu mempunyai nilai dalaman yang teguh, berintegriti dan tinggi akhlaknya, nescaya beliau tidak mudah melakukan penyelewengan, salah guna kuasa atau terlibat dengan rasuah.
Manakala, individu yang mempunyai kekuatan fizikal serta kemahiran tinggi dalam sesuatu bidang semestinya berupaya menyelesaikan tugasan dengan berkesan dan membuat keputusan organisasi dengan baik.
Elemen ini diperkukuh lagi melalui peningkatan ilmu pengetahuan menerusi pembelajaran berterusan seperti melanjutkan pengajian ke peringkat pascaijazah (sarjana dan doktor falsafah - PhD), serta penglibatan dalam kursus, seminar dan latihan praktikal.
Dalam konteks Islam, pekerja yang berkualiti seharusnya mempunyai nilai keimanan yang teguh, patuh kepada ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW, serta mengamalkan prinsip dan etika Islam dalam pekerjaan harian.
Hal ini kerana pekerja berkualiti dalam Islam bukan sahaja mencapai matlamat yang dirancang, malah matlamat akhirnya adalah memperoleh keredaan Allah SWT dalam setiap urusan duniawi dan ukhrawi.
Semoga sambutan Hari Pekerja pada tahun ini mampu memperkukuh tenaga kerja masa hadapan serta menghargai sumbangan mereka ke arah pembangunan negara Malaysia yang tercinta.
*** Prof. Dr. Hasan Al-Banna Mohamed ialah Penolong Naib Canselor (Pengurusan Data dan Kualiti) merangkap Ketua Pegawai Digital (CDO), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
