NGO lapor polis terhadap Jalaluddin didakwa sentuh sensitiviti institusi diraja

KUALA LUMPUR – Sekretariat Taat Setia Sokongan Tuanku Muhriz membuat laporan polis terhadap Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias susulan kenyataan serta paparan dipercayai menyentuh sensitiviti dan kedaulatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Laporan itu dibuat Pengerusinya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini pada Rabu.

Megat D Shahriman berkata, pihaknya memohon polis menyiasat kenyataan Jalaluddin yang dipercayai menyentuh sensitiviti institusi diraja semasa Konvensyen 80 Tahun UMNO di sini pada Sabtu.
"Institusi diraja wajib dipertahankan daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kedudukannya sebagai Raja Berperlembagaan yang berkecuali dari politik kepartian, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan Perlembagaan Persekutuan," katanya pada sidang media di sini, Rabu.
Megat D Shahriman berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan yang telus dan profesional.
"Kita yakin polis akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang berkaitan termasuk dakwaan membabitkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R)," katanya.
Sebelum ini, Jalaluddin ketika berucap pada Konvensyen 80 Tahun Umno menghuraikan kronologi krisis institusi itu untuk menjelaskan tindakan beliau serta 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
