Isu pampasan tanah, kerajaan ada formula tersendiri - Armizan

PAPAR - Kerajaan mempunyai formula tersendiri dalam menangani isu pampasan melibatkan pengambilan tanah bagi pelaksanaan projek menaik taraf jalan di daerah ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ketika ini terdapat empat projek infrastruktur utama sedang dan akan dilaksanakan di daerah berkenaan.
Beliau berkata, projek terbabit meliputi kerja menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut, pembinaan Bypass Jalan Pengalat-Papar, persiapan tender bagi pembinaan SMK Gana, Papar, serta cadangan projek pembinaan Kilometer 20.4 Jambatan Papar 2 yang kini berada di peringkat perancangan.
Mengulas isu pampasan yang sering menjadi perhatian penduduk terlibat, beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha mencapai penyelesaian terbaik melalui rundingan bersama semua pihak.
"Perkara itu akan dirunding sehabis baik. Kita memahami situasi yang dihadapi dan kerajaan memang sudah mempunyai proses serta formula tersendiri dalam menangani isu pampasan ini.
"Sekiranya kedua-dua pihak mencapai persetujuan, Alhamdulillah. Namun jika sebaliknya, ada proses lain yang perlu dilalui mengikut saluran yang telah ditetapkan," katanya dalam sidang akhbar selepas taklimat status semasa projek pembangunan di daerah ini, di Pejabat Daerah Papar, di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, kerjasama penduduk amat penting kerana pelaksanaan projek berkenaan bakal memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat, khususnya dalam menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang sekian lama dihadapi pengguna jalan raya di Papar.
"Kalau mengikut keadaan biasa, perjalanan dari Papar ke Kota Kinabalu sepatutnya mengambil masa sekitar 40 minit sahaja. Namun sekarang, bukan hanya pada waktu puncak, malah pada waktu biasa pun perjalanan boleh mencecah hampir satu setengah hingga dua jam.
"Sebab itu projek ini adalah antara penyelesaian yang telah diberikan komitmen oleh kerajaan melalui peruntukan yang disediakan.
"Jadi kita merayu kepada penduduk yang terlibat supaya bersama-sama memberi sokongan demi menyelesaikan masalah yang kita hadapi bersama," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai sesi taklimat tersebut, beliau berkata, ia diadakan bertujuan untuk mendapatkan maklum balas terkini mengenai status pelaksanaan dan kemajuan projek-projek pembangunan di daerah berkenaan, selain menyelaras isu-isu berbangkit bagi memastikan pelaksanaan fizikal dapat dimulakan segera serta siap mengikut jadual ditetapkan.
Menurutnya, antara perkara awal yang perlu diberi perhatian termasuk penyelesaian berkaitan status tanah, pengalihan utiliti, paip bekalan air, kabel telekomunikasi serta pencawang elektrik yang melibatkan pelbagai agensi teknikal.
Katanya, penyelarasan menyeluruh amat penting memandangkan projek-projek terbabit telah lama dinantikan masyarakat di daerah itu.
"Projek-projek ini bukan sahaja sudah lama ditunggu oleh masyarakat Papar, malah saya anggap sebagai projek-projek mendesak yang perlu disegerakan pelaksanaannya. Sebab itu penyelarasan antara semua agensi berkaitan perlu dilakukan dari semasa ke semasa," katanya.
Menurutnya, projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut akan dilaksanakan serta-merta dengan tempoh pembinaan selama dua tahun, selain majlis turut menyaksikan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang dilantik dan watikah Pegawai Penguasa kepada Jabatan Kerja Raya Sabah bagi mengawal selia pelaksanaan projek tersebut.
"Kita bersyukur proses perolehan telah selesai dan projek yang diumumkan sebelum ini akhirnya dapat dimulakan segera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
