Malaria monyet belum dikesan di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Pulau Pinang setakat ini belum merekodkan sebarang kes malaria monyet walaupun terdapat jangkitan tersebut telah dikesan di Sabah.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, laporan terkini Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan kira-kira 300 kes malaria monyet telah dikesan di Sabah termasuk satu kematian.
Menurutnya, penyakit itu berpunca daripada jangkitan parasit malaria dalam kalangan monyet yang kemudiannya disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk.
“Untuk malaria monyet di Pulau Pinang buat masa kini, belum ada kes dicatatkan lagi,” katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes malaria monyet dan situasi semasa penyakit bawaan nyamuk di negeri ini.
Mengulas lanjut, Daniel berkata, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang sentiasa memantau rapi perkembangan penyakit tersebut bagi memastikan ia tidak menular di negeri berkenaan.
“Malaria ini sebenarnya dijangkiti melalui nyamuk daripada haiwan monyet yang telah dijangkiti malaria tersebut dan disebarkan ke manusia melalui gigitan nyamuk.
“Jadi buat masa kini, Pulau Pinang masih tidak mencatatkan sebarang kes ini namun perkara ini memang kita seringkali pantau,” ujarnya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan Sabah merekodkan 357 kes malaria monyet dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini dengan satu kematian dilaporkan.
Beliau berkata Ranau, Kudat dan Tawau dikenal pasti sebagai penyumbang utama kes itu di negeri ini.
Malaria monyet atau malaria zoonotik ialah sejenis malaria yang ditularkan daripada monyet kepada manusia melalui gigitan nyamuk, dan lazimnya disebabkan oleh parasit Plasmodium knowlesi.
Dalam perkembangan lain, Daniel memaklumkan kes demam denggi di Pulau Pinang menunjukkan trend penurunan apabila mencatatkan pengurangan sebanyak 39 peratus setakat tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
“Kalau kita lihat kepada situasi khasnya berhubung dengan nyamuk, kita dapat saksikan juga kes jangkitan demam denggi yang mencatatkan kadar penurunan sebanyak 39 peratus berbanding tahun lepas.
“Tahun sebelum ini juga kita mencatat penurunan yang amat ketara dan tahun ini kita meneruskan trend menurun tersebut,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan menurunkan kes denggi itu bukan hanya hasil usaha kerajaan negeri semata-mata, sebaliknya melibatkan kerjasama semua pihak termasuk komuniti setempat.
“Ini bukan saja usaha kerajaan negeri tetapi satu usaha sama daripada semua komuniti. Yang penting mesej yang kita sampaikan dapat diterima baik oleh masyarakat.
“Kita memerlukan inisiatif setiap komuniti dan keluarga untuk memastikan tiada takungan air bagi mengurangkan pembiakan nyamuk Aedes,” jelasnya.
Tambah beliau, berdasarkan jangkaan awal, kes denggi di Pulau Pinang sepatutnya meningkat tahun ini namun setakat ini trend penurunan masih dapat dikekalkan.
“Sepatutnya tahun ini kita menjangkakan trend meningkat tetapi setakat ini kita masih melihat trend penurunan bagi jangkitan demam denggi di negeri ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

