Anjung Dinamik hab pemerkasaan golongan rentan, mangsa keganasan rumah tangga

DENGKIL - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkenalkan pendekatan baharu dalam memperkasakan golongan rentan menerusi pembukaan Anjung Dinamik, sebuah hab sosial bersepadu di bawah Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif itu bertujuan mengubah paradigma bantuan kebajikan daripada bersifat sementara kepada pemerkasaan yang mampan dan berdaya tahan bagi memastikan kelangsungan hidup golongan sasar.
Beliau menjelaskan, Anjung Dinamik berfungsi sebagai ekosistem holistik yang menghimpunkan latihan kemahiran, sokongan psikososial, serta peluang penjanaan pendapatan dalam satu bumbung.
“Anjung Dinamik direka untuk memberikan peluang kedua kepada golongan rentan agar mereka boleh bangkit semula dan membina kehidupan yang lebih baik melalui ruang yang disediakan seperti Kafe Ngopi dan Cerita, studio podcast, dan Galeri Mekar Dinamik,” katanya ketika merasmikan Pembukaan Pengoperasian Anjung Dinamik di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Nancy turut menekankan kepentingan menangani isu keganasan rumah tangga yang kini memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan institusi keluarga.
Menurut beliau, mangsa keganasan memerlukan lebih daripada sekadar perlindungan fizikal, termasuk sokongan emosi dan bimbingan yang berterusan untuk memulihkan keyakinan diri.
“Di sinilah peranan KPWKM melalui Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) dan Anjung Singgah YKN menjadi sangat penting. Kemudahan seperti Bilik Kaunseling Mindness Kasih PSSS disediakan khas untuk mengangkat semula martabat insan yang terjejas,” ujarnya.
Menyentuh mengenai perkembangan semasa, beliau turut mengingatkan warga kementerian dan masyarakat untuk peka terhadap cabaran global, termasuk krisis tenaga yang menuntut pengurusan sumber secara berhemah.
Tegasnya, meskipun berdepan kekangan ekonomi dan sumber, komitmen kementerian dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat tidak seharusnya terjejas.
“Saya menyeru seluruh warga KPWKM agar terus teguh melaksanakan amanah. Jadikan Nilai Kasih, Kasih Sayang, Akhlak Mulia, Sihat, Ilmu, dan Harmoni sebagai amalan harian, bukannya sekadar slogan,” tambah beliau.
Nancy turut menzahirkan keyakinan bahawa Anjung Dinamik akan berkembang sebagai tapak sokongan inklusif yang mampu melahirkan individu berdikari yang akhirnya dapat menyumbang kembali kepada masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

