'Saya cuma nak isteri dapat lihat wajah saya'

Mohd Norhafidz Kadai, 43, yang setia menjaga isterinya, Mardiah Karim, 39, selepas wanita itu disahkan menghidap penyakit glaukoma hampir dua tahun lalu.
Mohd Norhafidz Kadai, 43, yang setia menjaga isterinya, Mardiah Karim, 39, selepas wanita itu disahkan menghidap penyakit glaukoma hampir dua tahun lalu.
A
A
A

KLUANG – “Kalau boleh, saya cuma nak dia dapat lihat wajah saya semula.”

Itu harapan penuh makna daripada seorang suami, Mohd Norhafidz Kadai, 43, yang setia menjaga isterinya, Mardiah Karim, 39, selepas wanita itu disahkan menghidap penyakit glaukoma hampir dua tahun lalu.

Norhafidz mengakui mereka pernah mencuba pelbagai rawatan termasuk mendapatkan pandangan di klinik swasta namun, kos rawatan yang tinggi menjadi kekangan besar.

“Doktor kata kena buat suntikan pada mata, satu suntikan RM2,500 tapi belum tentu sembuh, mungkin kena tiga atau empat kali, kalau tak berjaya, kena pembedahan pula.

"Saya pernah jual motosikal untuk tampung kos rawatan dan membeli ubat-ubatan. Namun, usaha tersebut masih belum membuahkan hasil.

“Isteri selalu cakap, baba, saya rindu sangat nak tengok muka awak. Masa tu memang saya tak dapat tahan air mata tetapi dia tak sedar sebab dia tak nampak,” ujarnya.

Mohd Norhafidz Kadai, 43, yang setia menjaga isterinya, Mardiah Karim, 39, selepas wanita itu disahkan menghidap penyakit glaukoma hampir dua tahun lalu.
Mohd Norhafidz Kadai, 43, yang setia menjaga isterinya, Mardiah Karim, 39, selepas wanita itu disahkan menghidap penyakit glaukoma hampir dua tahun lalu.

Menurut Mohd Norhafidz, kehidupan mereka berubah sekelip mata apabila penglihatan Mardiah semakin merosot.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pada awalnya Mardiah hanya mengalami rabun biasa dan telah beberapa kali menukar cermin mata namun, keadaan tidak juga bertambah baik walaupun menggunakan kanta dengan kuasa tinggi.

“Lepas itu kami pergi hospital buat pemeriksaan. Doktor sahkan dia kena glaukoma, ada saraf mata yang bocor. Sejak itu, rutin harian keluarga kecil kami berubah sepenuhnya.

"Isteri yang sebelum ini bekerja sebagai tukang urut tradisional kini tidak lagi mampu meneruskan pekerjaan kerana penglihatannya semakin terhad.

"Semua tanggungjawab terletak pada bahu saya, pada waktu pagi bekerja sebagai tukang masak di kantin sekolah dan menyambung kerja di kantin kilang pada sebelah petang hingga malam.

"Kerja rumah seperti kemas, basuh baju dan masak juga saya uruskan," ulasnya.

Ayah kepada seorang cahaya mata ini memberitahu, walaupun berdepan ujian berat, mereka sekeluarga reda dengan ujian ALLAH.

Ujarnya, cabaran terbesar adalah memastikan keselamatan isterinya ketika keluar bekerja.

"Kini sudah 15 usia perkahwinan kami. Pada waktu pagi, anak saya, Ainul Marziah, 14, akan menemani ibunya namun apabila anak saya ke sekolah, Mardiah terpaksa bersendirian di rumah sehingga saya pulang sebentar sebelum menyambung kerja.

“Bila saya balik, dia akan mengadu jari kaki bengkak sebab tersepak barang. Dia langgar pintu, meja, kerusi semua benda dalam rumah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!