'Doakan isteri saya' - Percutian bulan madu bertukar tragedi

KOTA KINABALU - "ALLAH menguji keluarga kecil saya. Saya mohon doakan kesihatan isteri dan kami dapat pulang untuk teruskan rawatan di Sabah."
Demikian luahan Mohd Jamri Herry, 40, yang kini terkandas di Bandar Ho Chi Minh City, Vietnam selepas isterinya, Ruhana Joseph, 34, terlantar koma di sebuah hospital sejak seminggu lalu.
Mohd Jamri berkata, ketika ini beliau masih menunggu perkembangan lanjut berhubung urusan penerbangan pulang selepas kerajaan negeri memaklumkan akan membantu mereka, selain menyelesaikan beberapa prosedur termasuk dokumen hospital bagi membolehkan isterinya dibawa pulang ke Sabah.
"Kami memang bersedia untuk balik, cuma sekarang masih tunggu pengesahan pihak berkaitan mengenai tiket dan urusan seterusnya.
"Proses dari Malaysia sebenarnya mudah dan sangat membantu, cuma proses di Vietnam ini agak sukar sedikit kerana banyak perkara perlu diuruskan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, isterinya dimasukkan ke hospital sejak 21 April lalu selepas tidak sedarkan diri dan kini koma ketika mereka dijadualkan pulang ke tanah air pada hari sama.
"Kami datang ke sini pada 16 April untuk bercuti. Sepatutnya 21 April sudah balik, barang semua sudah siap dikemas tapi awal pagi hari terakhir itu isteri tiba-tiba jatuh sakit.
"Sebelum kejadian, dia tidak mengadu sakit, malah dia lebih muda dari saya dan dia kuat orangnya," katanya yang tidak menyangka diuji ketika berada di negara orang.
Mohd Jamri berkata, keadaan isterinya ketika ini masih dipantau rapi doktor dan perkembangannya hanya diketahui selepas mendapat maklumat daripada doktor yang merawat.
"Keadaan darah dalam badan stabil, cuma pendarahan di kepala itu kadang-kadang okey, kadang-kadang tidak. Saya sendiri kurang faham dan masih tunggu penjelasan lanjut doktor.
"Kami juga sedang urus doktor dari Malaysia datang bagi membantu proses kepulangan isteri saya ke tanah air," katanya.
Beliau turut mendedahkan kesukaran untuk melawat isterinya kerana peraturan hospital di negara berkenaan sangat ketat selain berdepan masalah komunikasi.
"Di sini kawalan keselamatan sangat ketat dan bukan mudah untuk jumpa pesakit. Kadang-kadang kena guna telefon untuk terjemah bahasa sebab ada yang tidak fasih berbahasa Inggeris.
"Waktu melawat pun hanya sekali sehari, sekitar jam 6 petang hingga 7 malam sahaja," katanya.
Menurut Mohd Jamri, video yang dimuat naik di media sosial sebelum ini dibuat sekadar ikhtiar terakhir untuk mendapatkan bantuan selepas beberapa hari berdepan kebuntuan.
"Saya buat video itu dengan harapan ada yang nampak dan sudi membantu. Saya hanya minta dipermudahkan urusan di sini.
"Tidak sangka pula video itu tular dan ramai yang bersimpati serta hulurkan bantuan," katanya.
Diminta berkongsi mengenai percutian mereka itu, Mohd Jamri berkata, perjalanan ke Vietnam itu sebenarnya percutian istimewa buat mereka berdua yang dianggap sebagai bulan madu selain menjadi pengalaman pertama melancong ke luar negara sebagai pasangan suami isteri.
"Percutian ini isteri yang urus kerana mengikut rakannya, kemudian dia mengajak saya. Sebenarnya pada awalnya saya teragak-agak kerana memikirkan hal kerja.
"Tetapi isteri memujuk sehingga kali ketiga, akhirnya saya setuju dan kami tidak membawa anak-anak. Saya ikut sekali teman dia dan kami anggap ini macam bulan madu kami.
"Ini juga kali pertama kami berdua pergi ke luar negara. Sebab itu isteri sangat teruja dan ajak saya ikut bercuti bersama.
"Mujur juga ada hikmahnya saya temankan isteri, jika dia berseorangan sudah tentu lebih sukar," katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Sabah, badan kebajikan, rakan-rakan serta rakyat Malaysia yang tampil membantu keluarganya.
"Saya ucap terima kasih kepada semua pihak yang ambil perhatian, termasuk kerajaan negeri, rakan-rakan dan rakyat Malaysia yang mendoakan kami.
"Terima kasih juga kepada rakyat Sabah yang banyak membantu dan terus memberi semangat kepada saya di sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
