X

Kindly register in order to view this article
!

Petronas temui minyak di Teluk Mexico

A
A

ANAK syarikat Petronas, Progress Resources USA Ltd (PRUL) bersama dengan rakan kongsinya mengumumkan penemuan minyak di telaga penerokaan Monument, terletak di luar pesisir Teluk Mexico, Amerika Syarikat (AS).

Penemuan baharu itu menjadi pencapaian penting kepada Petronas dalam mengukuhkan dan membangunkan usahanya di Amerika, berikutan ia mempelbagaikan dan mengembangkan portfolio perniagaan minyak dan gas (O&G) di AS dan di luar pesisir Teluk Mexico, menurut Petronas dalam kenyataan hari ini.

Penerokaan di telaga yang amat dalam itu digerudi dengan kedalaman 10,164 meter dan menemui kira-kira 60 meter pasir mengandungi minyak bersih di Lower Wilcox daripada batu pasir Paleogene.

Dengan penemuan itu, kerja-kerja penilaian lanjut adalah perlu untuk menentukan potensi penuh pengumpulan minyak tersebut, katanya.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Huluan Petronas, Adif Zulkifli berkata, penemuan tersebut adalah perkembangan yang menggalakkan berikutan syarikat terus mengejar peluang di luar Malaysia, sejajar dengan strategi pertumbuhan tiga serampang Petronas untuk mengembangkan perniagaan teras O&G dengan meningkatkan asas sumbernya.

“Ini merupakan kemasukan dan penemuan pertama syarikat dalam operasi O&G di Teluk Mexico AS.

“Kami akan terus meninjau peluang di rantau Amerika dan mengukuhkan kemampanan portfolio global kami,” katanya.

Telaga penerokaan Monument terletak di pusat Teluk Mexico AS, dikendalikan oleh Equinor Gulf of Mexico LLC yang mempunyai kepentingan kerja sebanyak 50 peratus, manakala PRUL memegang 30 peratus dan Repsol E&P USA Inc. memegang baki 20 peratus.-Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!