Dua kapal MPMS perkuat kawalan Laut China Selatan

KUALA LUMPUR – Dua Kapal Misi Pelbagai Guna (Multi Purpose Mission Ship) atau MPMS yang dijangka siap pada tahun hadapan akan digunakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Laut China Selatan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, berkata bahawa MPMS kedua atau kapal induk merupakan satu program pembangunan Maritim Malaysia dan kesinambungan kepada MPMS pertama.
Menurutnya, MPMS kedua ialah kapal yang mempunyai spesifikasi hampir sama dan dijangka dapat disiapkan pada penghujung 2027, manakala MPMS pertama disiapkan seawal Februari 2027.
“MPMS pertama akan disiapkan sebelum Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) tahun depan untuk dipamerkan keupayaannya.
“Kapal MPMS kedua ini secara ringkasnya sepanjang 99 meter dan dilengkapi empat buah bot pemintas untuk operasi penguatkuasaan dan pengoperasian,” katanya ketika ditemui pemberita di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di sini pada Rabu.
Beliau berkata bahawa kedua-dua kapal ini masing-masing dilengkapi empat bot pemintas.
Tambahnya, MPMS berupaya beroperasi di tengah laut sehingga 30 hari.
“Setiap pelayaran sekitar dua hingga tiga minggu. Pastinya akan beroperasi di kawasan sensitif bagi memelihara keselamatan perairan negara khususnya Laut China Selatan.
“Kapal MPMS akan melaksanakan rondaan dan dibantu keupayaan bot pemintas. Jadi apabila berada lama di tengah laut, kita percaya akan dapat melaksanakan operasi bagi mengawal sempadan dengan lebih efisien,” ujarnya.

Jelasnya, Maritim Malaysia melihat pembangunan aset ini sebagai antara keutamaan termasuk dalam sektor penting bagi memastikan keselamatan perairan negara.
“Selain itu, kita juga akan memperkasakan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dengan kelengkapan teknologi,” ujarnya.
Pada Selasa, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan berkata bahawa perolehan aset strategik itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa keupayaan pemantauan dan penguatkuasaan maritim negara.
MPMS berperanan sebagai kapal induk yang dilengkapi keupayaan rondaan, pemantauan, penguatkuasaan, pencegahan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Kapal ini turut dilengkapi dek pendaratan helikopter, selain sistem radar dan komunikasi yang lebih canggih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
