Penghantar barang maut selepas lima hari bertarung nyawa, polis siasat kes bunuh

Perkongsian seorang pengguna Threads berhubung kejadian. Foto kecil: Halim
Perkongsian seorang pengguna Threads berhubung kejadian. Foto kecil: Halim
A
A
A

MELAKA – Seorang penghantar barang berusia 21 tahun maut selepas mengalami kecederaan serius di bahagian belakang kepala ketika menghadiri acara gig di sebuah kafe di Kampung Jawa, di sini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, mangsa menerima rawatan di Hospital Melaka sejak 17 Oktober lalu dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia pada 21 Oktober lalu, jam 3.53 petang.

Menurutnya, susulan kejadian polis menahan 10 suspek berusia antara 18 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan.

“Untuk makluman acara itu tidak mempunyai permit daripada pihak polis mahupun kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kes yang pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan telah diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.

Terdahulu, tular di aplikasi Threads dakwaan seorang individu maut ketika menghadiri acara berkenaan di premis itu, selain mempersoalkan mengapa kafe terbabit masih beroperasi seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa berlaku.

Bagaimanapun, pihak pengurusan kafe menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan bahawa mangsa tidak meninggal dunia di premis itu, sebaliknya di hospital ketika mendapatkan rawatan selepas terjatuh.

Pengurusan kafe itu turut memaklumkan bahawa pihaknya telah beberapa kali hadir ke balai polis untuk memberikan keterangan dan membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

“Kafe kami bukan lokasi kejadian jenayah, jadi kenapa perlu ditutup? Untuk makluman, premis kami telah ditutup pada Ahad (18 Oktober) bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.

“Selepas siasatan di premis selesai, polis membenarkan kami beroperasi seperti biasa,” menurut komen pihak pengurusan kafe itu di aplikasi berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!