Blind box antara obsesi dan beban poket

MENGGABUNGKAN elemen kejutan, debaran dan kepuasan emosi, fenomena blind box hari ini bukan sekadar pengalaman membeli, ia satu sensasi kecil yang mampu mencetuskan adrenalin rush setiap kali kotak dibuka.
Saat plastik dibuka perlahan-lahan, jantung berdegup sedikit laju dan dalam beberapa saat itu, harapan untuk mendapatkan item rare terasa sangat nyata.
Itulah magis blind box, kita sebenarnya tidak tahu apa yang bakal diperoleh tetapi itulah membuatkan ramai kembali mencuba. Rasa ingin tahu dan keinginan memiliki edisi terhad mendorong pengalaman ini, yang sering disamakan seperti membuka hadiah misteri.
Namun bezanya, ia bukan hadiah kejutan daripada orang lain tetapi sesuatu yang dibeli sendiri, dan kadangkala berulang kali. Tidak hairanlah ia kini menjadi antara hobi yang semakin popular terutamanya dalam kalangan Gen Z dan Millennials. Menariknya, konsep ini bukanlah sesuatu baharu. Ia bermula daripada idea lucky bag di Jepun, di mana barangan dijual dalam beg tertutup tanpa diketahui kandungannya.
Dari situ, lahir pula budaya Gashapon sekitar 1970-an dan 80-an iaitu mesin kapsul menawarkan kejutan kecil setiap kali digunakan.
Hari ini, konsep sama diangkat ke tahap global dengan sentuhan moden. Platform media sosial seperti TikTok memainkan peranan besar, di mana video unboxing bukan sahaja menghiburkan tetapi turut mencetuskan rasa ingin mencuba penonton. Tanpa sedar, ia menjadi bentuk pemasaran paling berkesan, organik, spontan dan sangat relatable. Lebih menarik, fenomena ini bukan hanya terhad kepada golongan muda.
Ramai orang dewasa turut terlibat disebabkan nostalgia serta minat mengumpul koleksi. Dengan pendapatan boleh guna yang lebih tinggi, mereka antara penyumbang utama jualan siri premium dan edisi terhad.
Tambahan pula, kolaborasi dengan jenama besar seperti Disney, Marvel dan anime popular menjadikan setiap keluaran baharu terasa eksklusif. Setiap koleksi bukan sekadar mainan, tetapi satu bentuk identiti, sesuatu yang mencerminkan minat dan personaliti pemiliknya.
Dari sudut pasaran global, China muncul pemain utama dengan ekosistem yang kukuh, disokong jenama seperti Pop Mart serta penggunaan meluas e-dagang. Jepun pula kekal relevan akar budaya koleksi, manakala Korea Selatan berkembang pesat melalui pengaruh K-pop dan estetika moden.
Di Barat, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah turut menyaksikan permintaan tinggi, dipacu budaya koleksi dan trend media sosial.
Secara keseluruhan, industri ini bukan kecil, pasaran global blind box dijangka berkembang daripada lebih USD 14.7 bilion pada 2025 kepada kira-kira AS$25.1 bilion menjelang 2034.
Ini menunjukkan blind box bukan sekadar trend sementara, tetapi satu segmen ekonomi serius. Namun, di sebalik semua keterujaan itu, tetap ada persoalan adakah ia berbaloi atau sekadar membazir?
Jawapannya tidak semudah ya atau tidak. Bagi sesetengah orang, blind box menawarkan lebih sekadar objek fizikal. Ia pengalaman, rasa teruja, harapan dan kepuasan apabila akhirnya mendapat apa yang diinginkan.
Dalam ekonomi moden, ini dikenali emotional consumption di mana pengguna membeli perasaan bukan sekadar produk. Tetapi seperti mana-mana bentuk keseronokan, jika tanpa kawalan, ‘sekadar suka-suka’ boleh bertukar menjadi perbelanjaan impulsif atau lebih teruk, ketagihan mengejar item rare yang belum tentu diperoleh.
Akhirnya, blind box mungkin bukan tentang apa yang ada di dalam kotak tetapi bagaimana kita memilih untuk menikmatinya.
* Liza Mokhtar ialah wartawan Bisnes Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
