Lebihan hasil tanaman jadi duit

Pemilik Jeruk Mutiara, Fazil Akashah Othman
Pemilik Jeruk Mutiara, Fazil Akashah Othman
A
A
A

BALIK PULAU – Bermula sekadar minat serta usaha memanfaatkan lebihan hasil tanaman, seorang bekas jurutera kini berjaya membina perusahaan jeruk yang semakin mendapat tempat dalam pasaran tempatan.

Pemilik Jeruk Mutiara, Fazil Akashah Othman, 54, berkata penglibatannya dalam industri tersebut bermula sekitar tahun 2011 selepas beliau membuat keputusan meninggalkan kerjaya tetap dalam sektor perkilangan.

Menurutnya, sebelum bergelar usahawan sepenuh masa, beliau berkhidmat sebagai jurutera pengeluaran selama 16 tahun di sebuah syarikat multinasional di Bayan Lepas.

“Keputusan berhenti kerja bukanlah mudah, namun ketika itu saya melihat peluang yang sangat dekat dengan diri saya.

“Saya sudah mempunyai kebun dan terlibat dalam projek tanaman buah-buahan bersama Jabatan Pertanian,” katanya kepada Sinar Bisnes.

Tambah beliau, projek tanaman mangga secara berkelompok seluas hampir 24.3 hektar menjadi titik permulaan kepada idea menghasilkan jeruk.

“Apabila terdapat lebihan buah mangga, saya terfikir untuk memprosesnya menjadi jeruk.

“Dari situlah timbul minat untuk mengusahakan perusahaan ini secara lebih serius,” jelasnya.

Menurut Fazil, produk jeruk yang dihasilkan tidak banyak berbeza dengan produk lain di pasaran, namun beliau memberi penekanan terhadap penggunaan bahan berkualiti seperti cuka epal dan madu bagi meningkatkan nilai rasa.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga mempelajari teknologi pemprosesan daripada Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk memastikan produk yang dihasilkan lebih berkualiti dan selamat,” ujarnya.

Kini, perusahaan kecil yang beroperasi di Kampung Perlis, Balik Pulau itu mampu mengeluarkan antara lapan hingga sembilan tan jeruk setiap bulan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Walaupun jumlah itu kelihatan kecil, permintaan sebenarnya tinggi.

“Kami mempunyai pelanggan tetap yang membuat tempahan secara berkala selain jualan dalam talian melalui platform seperti TikTok dan Shopee,” katanya.

 Fazil Akashah Othman
Fazil Akashah Othman

Selain itu, pelanggan juga datang sendiri ke bengkel perusahaan untuk mendapatkan produk secara terus.

Bagi memastikan kelangsungan operasi, beliau dibantu oleh enam orang pekerja, terdiri daripada empat pekerja tetap dan dua pekerja sambilan yang terlibat dalam proses pengeluaran serta pemasaran.

Produk Jeruk Mutiara kini memberi tumpuan kepada buah-buahan tempatan seperti mangga, betik, kedondong, jambu dan sengkuang.

Namun, menurutnya, tanaman mangga yang diusahakan sebelum ini telah dihentikan dan digantikan dengan tanaman kedondong sebagai sumber utama bahan mentah dari kebun sendiri.

“Mangga sudah tidak diusahakan lagi kerana faktor masa dan kitaran tanaman.

“Kini kami memberi fokus kepada kedondong,” jelasnya.

Menyentuh perancangan masa depan, Fazil mengakui hasrat untuk menembusi pasaran global sememangnya ada, namun buat masa ini beliau lebih memberi tumpuan kepada permintaan domestik.

“Permintaan dalam negara juga sudah tinggi, tambahan pula bekalan buah-buahan ini bermusim.

“Jadi saya perlu memastikan pasaran tempatan sentiasa mencukupi,” katanya.

Antara produk yang dihasilkan di bawah Jeruk Mutiara.
Antara produk yang dihasilkan di bawah Jeruk Mutiara.

Dalam pada itu, beliau berharap perusahaan yang dibina dapat diwarisi oleh anak-anak pada masa hadapan.

Fazil yang mempunyai lima orang anak berkata, dua daripadanya telah bekerja manakala tiga lagi masih melanjutkan pengajian di universiti.

“Anak sulung banyak membantu saya, terutamanya dalam aspek pemasaran dan pengurusan pengeluaran.

“Harapan saya, perniagaan ini dapat diteruskan oleh mereka,” katanya.

Ringkasan AI

  • Bekas jurutera, Fazil Akashah, memulakan perusahaan jeruk selepas meninggalkan kerjaya sebagai jurutera pengeluaran pada 2011.
  • Projek tanaman mangga berkelompok memberi ilham kepada Fazil untuk memproses lebihan buah menjadi jeruk.
  • Jeruk yang dihasilkan menggunakan bahan berkualiti seperti cuka epal dan madu. Syarikat kecil di Balik Pulau ini menghasilkan lapan hingga sembilan tan jeruk setiap bulan.
  • Fazil bercadang menembusi pasaran global selepas memenuhi permintaan domestik yang tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!