Mamdani lawan orang kaya, Madani jangan bebankan rakyat biasa

SELEPAS 100 hari Zohran Mamdani menerajui New York, salah satu bandaraya tersibuk dan termahal dunia, ramai melihat beliau berjaya membuktikan bahawa kepimpinan yang berani dan berpihak kepada rakyat biasa masih boleh dilaksanakan di bandar besar yang mahal dan rumit.
Dalam tempoh singkat, beliau mula melaksanakan janji manifesto yang memberi tumpuan kepada kos sara hidup, perumahan, pengangkutan, makanan dan keperluan harian golongan pekerja.
Namun, lebih penting daripada kejayaan Mamdani sendiri ialah persoalan yang timbul untuk Malaysia selepas lebih 1,000 hari pentadbiran Kerajaan Madani: mengapa masalah asas rakyat masih belum diselesaikan secara tuntas?
Antara yang terawal dicapai kepimpinan Mamdani ialah skim penjagaan kanak-kanak untuk semua dengan dana RM4.8 bilion daripada pejabat Gabenor dan ianya tidak terhenti di situ malah inisiatif itu ditambah satu inisiatif pendanaan Child Care Action Fund, sebuah kerjasama antara pihak bandaraya dengan pihak swasta bagi membolehkan ianya dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berdaya maju.
Di New York, kos penjagaan kanak-kanak menjadi antara beban terbesar keluarga selepas sewa rumah. Ramai pekerja terpaksa tinggal jauh dari bandar kerana tidak mampu menanggung kedua-dua kos tersebut.
Situasi ini tidak jauh bezanya di Malaysia. Ramai ibu bapa di bandar besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam dan Johor Bahru terpaksa membayar ratusan malah ribuan ringgit sebulan untuk pengasuh, taska atau tadika. Kos ini bertambah apabila harga minyak, tambang bas sekolah dan kos pengangkutan terus meningkat.
Dalam keadaan ramai rakyat masih bergelut dengan gaji yang tidak meningkat seiring kos hidup, bantuan khusus bagi penjagaan kanak-kanak sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan.
Mamdani juga memberi perhatian besar kepada isu perumahan. Asbab supaya warga New York bekerja dan tinggal di bandaraya tersebut mendorong Mamdani bagi melaksanakan kawalan kos sewaan sejuta unit rumah atau apartmen walaupun mendapat tentangan kumpulan penyewa.
Namun baru-baru ini dilaporkan Mamdani menemukan jalan tengah dengan skim premium insurans yang 20%-30% lebih murah bagi mengawal kos pemilikan hartanah. Setakat ini dilaporkan beliau telah melancarkan skim insurans perumahan baharu yang bakal membantu 100,000 unit hartanah menjelang 2030.
Malah Mamdani juga dilaporkan bakal membina perumahan mesra poket dalam jumlah yang signifikan bagi membantu warga kebanyakan.
Nampaknya Mamdani bersungguh kekal istiqomah mahu mengekalkan golongan pekerja New York yang terpinggir dari segi ekonomi untuk kekal tinggal di bandaraya yang mereka bersama-sama tumpahkan khidmat bakti.
Di Malaysia, isu yang sama semakin meruncing, khususnya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Ramai anak muda tidak mampu membeli rumah di bandar tempat mereka bekerja. Mereka terpaksa membeli rumah di luar bandar seperti Rawang, Semenyih, Sungai Petani atau Seberang Perai dan berulang-alik berjam-jam setiap hari.
Pentadbiran Madani kini terpalit dengan kontroversi malah bantahan keras warga Malaysia semua peringkat dan latar belakang ketika cuba memperkenalkan URA, Akta Pembangunan Bandar, yang dikritik ramai sebagai usaha gentrifikasi golongan marhaen apabila Kuala Lumpur didakwa sedang disediakan hanya untuk dinikmati dan didiami oleh pihak elit mahakaya, sedangkan penduduk asal bandar, terutama golongan Melayu dan berpendapatan rendah, bakal 'dihalau' keluar bagi mendapatkan penempatan yang lebih murah.
Akibatnya, Kuala Lumpur semakin dilihat dibangunkan untuk golongan elit, pelabur asing dan pembeli hartanah mewah, bukannya untuk rakyat biasa. Jika trend ini berterusan, bandar raya ini akan menjadi tempat bekerja semata-mata, bukan lagi tempat tinggal yang mampu didiami oleh majoriti rakyat.
Masalah ini diburukkan lagi oleh kegagalan sistem pengangkutan awam. Ramai pekerja terpaksa memandu sendiri atau menunggang motosikal kerana tren sering lewat, rosak dan tidak boleh diharap, manakala bas pula tidak menentu.
Akibatnya, jutaan kenderaan memasuki Kuala Lumpur setiap hari dan menyebabkan kesesakan luar biasa.
Dalam keadaan harga petrol meningkat dan subsidi bahan api semakin dikurangkan, beban rakyat menjadi lebih berat. Kos e-hailing, tambang sekolah dan perbelanjaan harian semuanya meningkat. Kerajaan masih belum menawarkan penyelesaian yang benar-benar meyakinkan kepada masalah pengangkutan awam walaupun sudah hampir sepenggal mentadbir.
Sebaliknya, Mamdani menjadikan pengangkutan awam sebagai antara fokus utama beliau. Beliau berjanji untuk menyediakan bas yang percuma, cepat dan boleh diharap.
Beliau juga telah berjaya memperbaiki seratus ribu lopak jalan di sekitar Bandaraya New York yang sekian lama menjadi kegusaran warga tempatan malah beliau sendiri dilihat turun padang terlibat langsung dalam mengotakan inisiatif yang pernah dijanjikan beliau itu.
Di Malaysia, rakyat masih berdepan isu yang sama tahun demi tahun: banjir kilat, longkang tersumbat, pokok tumbang, jalan berlubang dan kerosakan infrastruktur. Kuala Lumpur bukan bandar miskin yang tiada bajet, tetapi masalahnya mungkin terletak pada keutamaan dan empati pentadbir.
Isu kos makanan juga menunjukkan perbezaan ketara antara pendekatan Mamdani dan Madani. Di New York, Mamdani memperkenalkan idea pasar raya mampu milik milik bandar yang menjual barangan asas pada harga lebih murah. Ia diwujudkan kerana kerajaan bandar mengakui ramai penduduk tidak lagi mampu membeli makanan pada harga semasa.
Mamdani memperkenalkan La Marqueta yang akan dibina di East Harlem yang akan menawarkan barangan makanan dengan harga yang lebih murah. Beliau menyasarkan setiap lima borough bakal mempunyai satu La Marqueta bagi mendepani keperluan penduduk setempat selewat-lewatnya beroperasi pada lewat 2027. Inisiatif ini dibuat bagi mengurangkan kesan kenaikan harga barangan makanan di bandaraya tersebut beberapa tahun kebelakangan ini melebihi 50 peratus.
Di Malaysia, harga makanan dan barang keperluan juga terus meningkat. Makanan di kedai biasa kini sukar diperoleh di bawah RM10. Harga beras, minyak masak, sayur dan gula meningkat dari semasa ke semasa. Pada masa sama, kenaikan SST dan pengurangan subsidi bahan api menambahkan lagi tekanan kepada rakyat.
Ramai berpendapat kerajaan terlalu berlembut terhadap kartel dan orang tengah. Krisis beras dan minyak masak sebelum ini memperlihatkan bagaimana kelemahan penguatkuasaan akhirnya menyebabkan rakyat biasa yang menanggung kesannya.
Perbezaan paling ketara mungkin terletak pada soal siapa yang dipilih untuk menanggung beban. Mamdani secara terbuka memilih untuk mengenakan cukai lebih tinggi kepada golongan kaya, khususnya pemilik hartanah mewah yang tidak tinggal di New York.
Pada 15 April lepas, bersempena dengan Hari Cukai, Mamdani mengucapkan "Happy Tax Day, New York. We're taxing the rich" di platform X. Sebagai pemula hartanah yang berharga RM20 juta dan bukannya residensi utama di Bandaraya New York akan dikenakan cukai tahunan yang dikenali sebagai pied-à-terre tax seperti yang telah dilakukan di Perancis & Canada yang bakal mendatangkan hasil sebanyak RM2 Bilion setahun kepada City Hall.
Ianya akan digunakan bagi mendanai pelbagai inisiatif termasuk penjagaan kanak-kanak secara percuma, penjagaan kebersihan jalan dan penjagaan keselamatan di kawasan kejiranan. Jumlah tersebut juga bakal digunakan bagi mengurangkan jurang perbelanjaan mengendalikan bandaraya tersebut.
Madani pula dilihat masih tersipu-sipu malu mahu mengenakan cukai kepada kumpulan mahakaya. Hakikatnya juga walaupun sudah beberapa kali diusulkan supaya Madani memperkenalkan GST yang jauh lebih baik daripada SST dari segi perolehan kepada kerajaan dan pengawalan kos kenaikan harga keperluan yang berganda.
Malah sudah beberapa kali Madani juga dikritik lebih bersifat elitis dan hanya mengambil berat kumpulan pemodal, pekilang, kartel niaga dengan banyak projek maha mega dengan puluhan bilion dibelanjakan ditengah-tengah cabaran 'pain is coming' seperti yang diumumkan Madani sendiri.
Malah yang lebih ekstrem lagi ialah tuduhan sesetengah pentadbiran kerajaan bersekongkol dengan mafia korporat seperti yang dibangkitkan Bloomberg dan Victor Chin dan beberapa pihak lain dalam banyak pendekatan yang diambil sehinggakan merugikan rakyat terbanyak.
Antara kritikan yang dilemparkan terhadap Madani yang dikatakan tidak mahu mengenakan cukai terhadap golongan mahakaya seperti cukai hartanah yang tidak dihuni contohnya atau cukai kepada harta kekayaan legasi atas sebab yang hanya diketahui oleh pentadbiran Madani sendiri.
Malah Madani juga dikatakan lebih mengutamakan kumpulan pemodal dengan perjanjian ART (Agreement on Reciprocal Trade) demi memelihara industri tertentu sehinggakan digadai kepentingan negara kepada Amerika Syarikat dan natijahnya Madani dihadapkan ke mahkamah oleh sesetegah pihak yang berkepentingan.
Krisis beras dan minyak masak juga dikriik sebagai testament kegagalan Madani terlalu berlembut dengan kartel niaga tertentu. Peningkatan sara hidup rakyat dengan beban keperluan asas dikatakan berpunca juga dek kegagalan pentadbiran Madani menjalankan penguatkuasaan yang berkesan selain isu ketirisan dan sebagainya.
Menarik untuk diketengahkan pentadbiran Mamdani berdepan dengan defisit belanjawan sebanyak RM20 bilion dan Datuk Bandar itu dilihat berusaha gigih untuk menutup jurang tersebut dengan penuh bertanggungjawab.
Malah seputar 100 hari Mamdani menjadi Datuk Bandar, semua ini dicapai tanpa perlu melabel para pengkritik sebagai bebal, bengap atau bodoh atau malas membaca. Mamdani tidak perlu meremehkan mereka dengan label kuat merengek.
Tidak perlu juga memenjarakan mereka yang mengkritik atau mempersoalkan kegagalan beliau dengan sebarang bentuk intimidasi, pembulian atau kezaliman dengan membelakangkan hukum.
Malah adakalanya setiap soalan bersifat peribadi yang menempelak isterinya, seperti yang berlaku sudah beberapa kali, dijawab dengan penuh berhemah persis seorang pemimpin masyarakat berakhlak tinggi. Melayan wartawan yang bertanya dengan penuh hormat dan senyuman dan bukannya dengan bengis, mengherdik atau ugutan.
Mamdani bukanlah seorang Datuk Bandar yang dilihat berdendam kesumat terhadap konstituensi yang tidak menyokong beliau. Malah dengan terbuka berjanji akan bekerja keras bagi menutup lopak jalanan di kawasan kejiranan mereka juga.
Benar Mamdani hanya berkhidmat kepada sekitar 8 juta penduduk bandaraya tersebut. Namun ianya jelas memberi kesan kepada lebih 20 juta penduduk New York State di sekitarnya. Mungkin Madani terpaksa berdepan dengan lebihan 17 juta jiwa berbanding Mamdani.
Malaysia tidak semestinya perlu meniru semua dasar New York. Namun semangat yang dibawa Mamdani wajar dijadikan pengajaran: bandar dan negara perlu dibangunkan untuk rakyat biasa, bukan hanya untuk golongan elit, pemaju dan pemilik modal. Selepas lebih 1000 hari pentadbiran Madani, rakyat masih menunggu dasar yang benar-benar berani, jelas dan berpihak kepada mereka.
*** Harizal Hassan ialah Mantan Eksekutif Kanan, Pusat Kajian Media, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) & Penulis Buku Esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
