Jangan terlalu percaya kempen politik

BUKAN main marah lagi rakyat ekoran kenaikan harga minyak sekarang terutama diesel. Ini bukan lagi sekadar rungutan di media sosial atau perbualan di kedai kopi.
Ia sudah bertukar jadi rasa kecewa yang lebih mendalam, seolah-olah dipermainkan oleh naratif yang satu ketika dahulu memberi harapan.
Bagi Merak Jalanan, rakyat bukan tak tahu dan tak faham tapi sengaja pulang paku buah keras.
Apa yang terjadi hari ini ada hikmahnya. Jangan tabur janji tanpa usul periksa dan jangan terlalu percaya kempen politik.
Setiap sen kenaikan petrol dan diesel memberi kesan langsung kepada harga makanan, pengangkutan dan akhirnya keseluruhan rantaian kehidupan harian.
Tidak dapat dinafikan, faktor global memainkan peranan penting.
Harga minyak mentah dunia yang tidak menentu, tekanan subsidi terhadap fiskal negara serta ketirisan dalam sistem sebelum ini sering dijadikan justifikasi kepada penyelarasan harga.
Namun sebelum memegang tampuk kuasa, naratif yang dibawa cukup jelas kononnya tiada keperluan menaikkan harga minyak jika negara diurus dengan baik.
Kenyataan ini bukan sekadar retorik kempen, tetapi telah membentuk harapan besar dalam kalangan rakyat.
Hari ini, apabila harga bahan api khususnya diesel melonjak ke paras yang tinggi, persoalan mula timbul: Adakah kata-kata dahulu sekadar kempen yang mustahil untuk dilaksanakan?
Justeru Merak Jalanan harap usahlah membakar emosi rakyat dengan label buta huruf, malas membaca dan sebagainya apabila rakyat mengkritik isu minyak.
Sebaliknya, penjelasan yang telus dapat membantu merapatkan jurang persepsi antara pembuat dasar dan rakyat, selain mengekalkan tahap keyakinan terhadap pentadbiran negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
