Petugas kesihatan perlu jadi contoh kepada masyarakat

Kisah penjawat awam merokok di restoran pernah mendapat sorotan media di negara ini. Foto hiasan
Kisah penjawat awam merokok di restoran pernah mendapat sorotan media di negara ini. Foto hiasan
A
A
A

TULAR foto seseorang penjawat awam menghisap rokok di sebuah restoran pada pertengahan bulan lalu di Selangor telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang awam.

Rata-ratanya kecewa dengan insiden berkenaan, lebih-lebih lagi apabila diberitahu bahawa lelaki terbabit merupakan seorang petugas kesihatan sebagaimana disahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun, tindakannya itu telah membawa padah apabila dikenakan kompaun di bawah Seksyen 16(2) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) kerana merokok di tempat awam.

Di samping itu, petugas di jabatan kesihatan sebuah daerah itu juga telah dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara.

Kisah penjawat awam merokok di restoran dalam uniform atau sedang bertugas bukan lagi perkara baru di negara ini.

Ia pernah mendapat sorotan media kerana perkara tersebut jelas bertentangan dengan imej penjawat awam yang mengutamakan disiplin.

Sebelum ini, kes sama juga pernah dilaporkan berlaku di Johor apabila foto seorang anggota polis dalam seragam dipercayai sedang bertugas menghisap rokok di sebuah restoran tular di media sosial.

Malah, seorang menteri juga pernah dikenakan kompaun apabila tular fotonya sedang memegang sebatang rokok ketika duduk bersama sekumpulan lelaki di sebuah restoran di Negeri Sembilan.

Perhatian

Artikel Berkaitan:

Namun, kes penjawat awam di Rawang itu lebih diberi perhatian kerana ia melibatkan tanggungjawab dan peranannya dalam industri kesihatan.

Tindakannya menghisap rokok di restoran itu boleh disifatkan sebagai mengkhianati polisi KKM yang giat mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.

Malah, ia juga berpotensi mensabotaj usaha KKM dalam membanteras tabiat merokok melalui penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Sebagai seorang petugas kesihatan, seharusnya dia tidak menghisap rokok di dalam kawasan yang diwartakan sebagai tempat larangan merokok seperti premis makan, bangunan kerajaan dan tempat ibadat.

Tindakan itu boleh melunturkan keyakinan orang ramai terhadap usaha KKM dalam melahirkan generasi bebas asap rokok.

Kegagalan petugas kesihatan mematuhi disiplin ketika berada dalam seragam boleh membawa kepada persepsi salah guna kuasa yang akhirnya memburukkan imej KKM itu sendiri pada masa akan datang.

Dalam hal ini, KKM tidak hanya mengenakan tindakan terhadap petugasnya yang merokok ketika bertugas, sebaliknya mereka perlu menetapkan satu mekanisme yang boleh mengawal petugasnya daripada melakukan kesalahan sama.

Sebagai contoh, tambah baik prosedur pengambilan kakitangan dengan memilih individu yang mengamalkan gaya hidup sihat dan tidak merokok agar mereka boleh dijadikan contoh kepada masyarakat.

Bagi kakitangan sedia ada yang merokok pula, mereka perlu diberikan kaunseling berhenti merokok sebagaimana yang ditawarkan oleh KKM, sekali gus membuktikan kepada orang awam bahawa ketagihan merokok boleh dipulihkan.

Tunjukkan juga kepada orang awam bahawa petugas kesihatan bukan sekadar menjalankan tugas semata-mata dalam masa sama mereka juga boleh menginspirasi masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

*Hafezdzullah Mohd Hassan ialah Sub-Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!