Sembilan MP PKR pertikai sistem baharu pengambilan pekerja asing Bestinet

SHAH ALAM - Sembilan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) memandang serius laporan media dan reaksi Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berhubung cadangan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melaksanakan satu sistem baharu dibangunkan oleh Bestinet Sdn Bhd (Bestinet) yang dinamakan 'The Universal Recruitment Advanced Platform' (TURAP).
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa, Ramanan bukan sahaja mengesahkan cadangan TURAP sedang dipertimbangkan, tetapi juga mempertahankan rekod Bestinet yang mengendalikan sistem sedia ada iaitu Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS).
Dakwanya lagi, pendirian Ramanan bertentangan dengan penemuan dan keputusan dibuat badan-badan semak imbang yang meneliti FWCMS.
Antaranya, menurut Rafizi, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menjadi semak imbang kerajaan bersidang sebanyak lapan kali dalam tempoh Disember 2023 hingga Februari 2025 untuk meneliti perihal FWCMS dan Bestinet.
"Penemuan PAC yang diumumkan di dalam laporan bertarikh 6 Mac 2025 adalah FWCMS beroperasi dan digunakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) walaupun tiada kontrak ditandatangani antara Bestinet serta kerajaan sejak Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan pada 12 Januari 2018 hingga tarikh SST luput pada 31 Mei 2024.
"Selama lebih enam tahun, ada kelemahan kronik dalam operasi FWCMS bersabit kawalan sistem iaitu dua ID pengguna 'super admin' tidak dipegang oleh pegawai Kesuma dan 24 pengguna tidak sah yang meluluskan permohonan 24 majikan.
"Pelaksanaan FWCMS tidak termasuk dalam senarai projek kerjasama awam swasta yang membolehkan pendekatan 'proof of concept' dan melepasi proses tender terbuka seperti satu surat Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bertarikh 30 Disember 2020," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Rafizi menambah, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 juga menemukan perincian penting antaranya keseluruhan pengurusan FWCMS diklasifikasikan sebagai 'tidak memuaskan'.
Bukan itu sahaja, kata bekas Menteri Ekonomi tersebut, FWCMS digunakan untuk pengambilan pekerja asing dari Bangladesh sahaja sedangkan terdapat 15 negara sumber tenaga asing secara keseluruhannya.
"Kontrak tidak ditandatangani walaupun FWCMS digunakan menyebabkan hak dan kepentingan kerajaan terjejas.
"Ada risiko salah guna apabila dua ID 'super admin' yang tidak dipegang oleh pegawai Kesuma dan 24 lagi ID pengguna bukan kerajaan meluluskan permohonan kuota pekerja asing.
"Penemuan-penemuan ini secara jelas menunjukkan isu tatakelola yang kronik mengenai FWCMS dan hubungan kerajaan dengan Bestinet dalam urusan pengambilan pekerja asing," ujar beliau.
Atas dasar itu, Rafizi berpendapat bahawa kenyataan Ramanan memberi gambaran seolah-olah prestasi Bestinet dan FWCMS adalah baik sangat bertentangan dengan prinsip tata kelola yang diulang-ulang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelasnya, kerajaan membuat keputusan untuk memuktamadkan perjanjian dengan Bestinet dari 1 Jun 2024 hingga 31 Januari 2031 pada caj RM215 setiap pekerja, berbanding persetujuan asal RM100 per orang atas pertimbangan mengelakkan tuntutan Bestinet selama enam tahun (sebelum perjanjian dimeterai) dibawa ke mahkamah.
"Keputusan ini juga dibuat dengan perancangan pelaksanaan 'National Integrated Immigration System' (NIISe) yang dijangka beroperasi pada 2028 dan membolehkan FWCMS tidak lagi digunakan.
"Latar belakang ini penting bagi membolehkan orang ramai faham kenapa cadangan penggunaan satu lagi sistem baharu oleh Bestinet iaitu TURAP mengundang kemarahan rakyat," tegasnya lagi.
Justeru, Rafizi bersama lapan lagi Ahli Parlimen PKR berpandangan keras bahawa tiada keperluan utnuk memperkenalkan satu lagi sistem baharu memandangkan kerajaan sepatutnya menggunakan NIISe yang dilaporkan menelan belanja lebih RM1 bilion dan dijangka beroperasi pada 2028.
Pada hemat mereka, sistem dan perkhidmatan penting kerajaan yang berkaitan keselamatan negara serta pekerja asing tidak boleh diswastakan melalui kaedah usaha sama awam swasta sepertimana dicadangkan melalui TURAP.
"Jika pun ada keperluan untuk sistem baharu, apa-apa sistem yang hendak diperkenalkan perlu mengikut spesifikasi dan ditentukan oleh kerajaan serta melalui tender terbuka.
"Kerajaan tidak boleh mempunyai beberapa sistem yang menguruskan pengambilan pekerja asing beroperasi serentak.
"Kerajaan telah mengikat perjanjian untuk menggunakan FWCMS sehingga 2031, maka tidak bolehlah perkenalkan satu lagi sistem seperti TURAP yang akan memanjangkan 'konsesi monopoli' kepada sebuah syarikat swasta untuk tempoh panjang (12 tahun seperti dilaporkan media)," kata Rafizi.
Kenyataan tersebut dikeluarkan secara bersama oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Selain itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ir Ts Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
