Cubaan pindah 64 haiwan ternakan secara haram gagal

IPOH - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak mematahkan cubaan memindahkan 64 ternakan secara haram dalam satu pemeriksaan berhampiran Kilometer 323.9 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Tapah pada Ahad.
Pemeriksaan menerusi Op Korban Tegas 2026 sekitar jam 11 pagi itu berjaya mengesan 37 biri-biri dan 27 kambing bernilai hampir RM30,000 disembunyikan dalam sebuah lori yang dalam perjalanan ke Selangor.
Pengarah JPV Perak, Dr Saifullizam Abd Kadir berkata, siasatan awal mendapati, haiwan tersebut dibawa dari Kelantan sebelum cuba dipindahkan tanpa dokumen sah bagi tujuan jualan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen pemindahan yang sah.
"Sindiket ini cuba menggunakan taktik ‘lori bungkus’ dengan menutup keseluruhan bahagian belakang kenderaan menggunakan kanvas bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pada peringkat awal, pemilik ternakan terbabit enggan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
Bagaimanapun, selepas bantuan pihak polis diperoleh, pemilik akhirnya akur dan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM15,000 jika sabit kesalahan," katanya.
Dalam pada itu, Saifullizam berkata, Op Korban Tegas 2026 dilaksanakan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bagi memperketat kawalan pergerakan ternakan serta membanteras aktiviti pemindahan tanpa permit sah.
“Operasi ini akan diteruskan hingga hari perayaan bagi memastikan hanya ternakan yang mempunyai permit sah dibenarkan untuk dipindahkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

