Jutawan bergabung selamatkan paus terdampar

BERLIN – Dua jutawan Jerman berganding bahu mengumpul dana dalam usaha terakhir menyelamatkan seekor paus bungkuk yang terdampar di perairan utara negara itu, lapor Global News pada Sabtu.
Mamalia seberat 12 tan yang digelar 'Timmy' oleh media tempatan itu mula dikesan di Laut Baltik berhampiran Timmendorfer Strand pada awal Mac sebelum terperangkap di kawasan air cetek.
Sejak penemuan awal, paus tersebut beberapa kali terperangkap di lokasi berbeza sebelum berjaya dilepaskan dengan bantuan manusia, namun kembali tersadai dan kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Pertubuhan Pemuliharaan Marin, Sea Shepherd Germany memaklumkan haiwan itu semakin lemah dan peluang untuk terus hidup adalah tipis.
Sebagai alternatif, satu misi baharu akan menggunakan kusyen udara bagi mengapungkan paus ke permukaan sebelum ditarik ke perairan lebih dalam dan kembali ke Lautan Atlantik.
Menurut laporan, operasi itu dibiayai oleh dua jutawan yang tampil menyokong usaha menyelamat saat akhir tersebut.
Salah seorang penyumbang ialah Walter Gunz yang menegaskan paus itu berkemungkinan mati jika tiada tindakan segera diambil.
“Sekurang-kurangnya jika kita mencuba, masih ada peluang untuk menyelamatkannya,” katanya kepada agensi berita Jerman.
Menteri Alam Sekitar Mecklenburg-Pomerania, Till Backhaus berkata, walaupun paus itu tidak lagi aktif, ia masih menunjukkan tanda-tanda kehidupan.
“Keadaannya tidak lincah, namun jelas ia masih bernyawa. Ia juga dipercayai mengalami kecederaan serius,” katanya.
Difahamkan, paus tersebut memasuki Laut Baltik bulan lalu untuk mencari makanan dan mengalami beberapa luka di bahagian belakang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
