Budak maut 'dirawat secara karut' selepas dipatuk ular berbisa

Mangsa dilaporkan dipatuk ular pada Khamis lalu, namun keluarganya tidak membawa kanak-kanak itu ke hospital, sebaliknya mendapatkan nasihat seorang bomoh. Gambar hiasan
Mangsa dilaporkan dipatuk ular pada Khamis lalu, namun keluarganya tidak membawa kanak-kanak itu ke hospital, sebaliknya mendapatkan nasihat seorang bomoh. Gambar hiasan
A
A
A

NEW DELHI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas keluarganya bertindak menenggelamkannya di Sungai Ganges selama 12 jam sebagai ikhtiar rawatan tradisional susulan dipatuk ular berbisa, tanpa mendapatkan rawatan perubatan di hospital.

Menurut laporan media India, kejadian di kampung Pitampur, negeri Uttar Pradesh itu mencetuskan kemarahan orang ramai serta menghidupkan semula perdebatan mengenai bahaya kepercayaan karut yang menghalang mangsa daripada menerima rawatan perubatan segera.

Mangsa, Amit, seorang murid Tahun Empat, dilaporkan dipatuk ular pada Khamis lalu sebelum segera memaklumkan kejadian tersebut kepada keluarganya.

Bagaimanapun, menurut laporan media tempatan, keluarga berkenaan tidak membawanya ke hospital, sebaliknya mendapatkan nasihat seorang bomoh terlebih dahulu.

Bomoh tersebut kemudian didakwa mengarahkan keluarga itu mengikat Amit pada batang buluh sebelum menenggelamkan tubuhnya ke dalam Sungai Ganges, dengan kepercayaan bahawa air suci sungai tersebut mampu menyembuhkannya.

Budak berkenaan diikat dan direndam di dalam Sungai Ganges selama 12 jam sebagai ikhtiar rawatan selepas dipatuk ular berbisa. Foto Agensi
Budak berkenaan diikat dan direndam di dalam Sungai Ganges selama 12 jam sebagai ikhtiar rawatan selepas dipatuk ular berbisa. Foto Agensi

Menurut laporan yang sama, hanya selepas kira-kira 12 jam apabila mangsa didapati tidak sedarkan diri, barulah keluarga berkenaan membawanya ke pusat kesihatan.

Namun, pihak perubatan mengesahkan keadaan sudah terlambat dan nyawa kanak-kanak itu tidak dapat diselamatkan.

Artikel Berkaitan:

Lebih menyayat hati, selepas disahkan meninggal dunia, keluarga mangsa didakwa masih cuba mencampakkan mayatnya ke dalam sungai berkenaan dengan harapan berlaku keajaiban.

Seorang pegawai kesihatan tempatan, Dr Shashank Chaudhary, dipetik berkata bahawa pihaknya sering menjalankan kempen kesedaran bagi menasihati orang ramai supaya mendapatkan rawatan segera selepas dipatuk ular kerana setiap minit adalah kritikal.

Insiden tragis ini mencetuskan kemarahan meluas di media sosial, dengan ramai pihak mendesak agar tindakan undang-undang diambil terhadap keluarga mangsa atas kecuaian yang membawa maut.

Setakat laporan ini disiarkan, pihak berkuasa masih belum mengesahkan sebarang tindakan undang-undang terhadap keluarga terbabit berhubung insiden tersebut.- Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!