Interaksi masyarakat cetus penerbitan buku Asmaul Husna

Suhardiman menunjukkan buku yang berjaya diterbitkan olehnya menerusi Rumah Ngaji Barokah.
Suhardiman menunjukkan buku yang berjaya diterbitkan olehnya menerusi Rumah Ngaji Barokah.
A
A
A

TEMERLOH - Interaksi harian dengan masyarakat yang ingin memahami makna nama-nama ALLAH menjadi pencetus kepada penerbitan buku Asmaul Husna oleh Rumah Ngaji Barokah di sini.

Penulisnya, Suhardiman Mohd Lazim berkata, idea penghasilan buku itu timbul selepas mendapati keperluan terhadap bahan rujukan ringkas bagi membantu masyarakat memahami serta mengamalkan Asmaul Husna dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, perkara itu sering dibangkitkan dalam sesi interaksi bersama masyarakat yang bukan sahaja ingin memperbaiki bacaan al-Quran, tetapi turut mencari kefahaman lebih mendalam mengenai nama-nama ALLAH.

"Melihat kesungguhan para peserta Rumah Ngaji yang ingin mendalami sifat-sifat Allah menjadi pendorong kuat kepada saya.

"Daripada situ, timbul keperluan untuk menyediakan satu bahan rujukan yang ringkas dan mudah difahami untuk diamalkan serta dimanfaatkan oleh ummah secara berterusan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Majlis pelancaran naskhah ilmiah tersebut disempurnakan Qadhi Daerah Temerloh, Abdul Aziz Abdul Karim.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah itu diadakan serentak dengan Majlis Jamuan Aidilfitri bertemakan "Raya Dirai, Ukhuwah Dipeduli".

Selain pelancaran buku, majlis turut menyaksikan penyampaian naskhah al-Quran kepada peserta kelas bimbingan di bawah bimbingan Rumah Ngaji Barokah sebagai usaha menggalakkan kesinambungan pembelajaran.

Mengulas lanjut,Suhardiman, bahan berkenaan pada awalnya digunakan sebagai nota bimbingan sebelum disusun semula dan diterbitkan dalam bentuk buku selepas mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya mahu zikir Asmaul Husna menjadi sebahagian daripada amalan hidup, bukan sekadar di bibir, tetapi difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian.

"Kalau boleh setiap individu mempunyai satu rujukan mudah yang boleh membantu mereka mencari ketenangan saat diuji," jelasnya.

Ujar beliau lagi, bagi memastikan ketepatan isi kandungan, buku tersebut disusun berpandukan tiga sumber utama iaitu al-Quran al-Karim, kitab tafsir muktabar serta hadis sahih.

Beliau menambah, al-Quran dijadikan rujukan utama yang mengandungi perintah berdoa dengan nama-nama ALLAH.

"Kitab tafsir muktabar merujuk kepada huraian ulama bagi memastikan setiap makna dihuraikan dengan tepat mengikut syarak.

"Hadis sahih pula digunakan bagi menjelaskan fadhilat serta cara pengamalan zikir Asmaul Husna dalam kehidupan seharian," katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, penerbitan bahan ilmiah seperti buku itu memberi sumbangan kepada usaha memperluas pendidikan agama di peringkat akar umbi.

Menurutnya, usaha tersebut turut dilihat dapat menggalakkan masyarakat mendekati al-Quran serta mengamalkan zikir harian dalam kehidupan seharian.

“Pendekatan seperti ini memberi kesan positif dalam memperkukuh penghayatan ilmu agama dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!