Insiden rempuhan kereta guru: Mangsa cedera akan terima sokongan awal psikologi

KOTA BHARU - Mangsa yang cedera dalam insiden rempuhan kereta oleh seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas akan diberikan Bantuan Awal Psikologi (PFA) pada Rabu sebagai sebahagian daripada proses pemulihan menyeluruh.
Pelajar Tingkatan Satu berkenaan, Zara Akhtar Zamzuri, 13, kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas pembedahan akibat kecederaan koyak telinga dan luka pada kaki serta muka.
Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, PFA penting bagi membantu mangsa menyesuaikan diri selepas melalui kejadian mengejut serta memastikan kesejahteraan emosi terus terpelihara sepanjang tempoh rawatan.
“PFA ini bertujuan menstabilkan emosi mangsa selain memberi sokongan awal agar sebarang kesan tekanan dapat ditangani dengan baik.
“Ibu bapa mangsa juga sudahpun diberikan perkhidmatan sama semalam,” katanya kepada pemberita pada Rabu.
Dalam kejadian jam 1.30 petang Ahad lalu, rakannya, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, maut manakala Zara cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu seorang guru wanita berusia 57 tahun di kawasan sekolah berkenaan.
Dr Mohd Azman berkata, bantuan berkenaan dikendalikan oleh pegawai psikologi dan kaunselor terlatih yang akan memantau keadaan Zara dari semasa ke semasa.
Tambahnya, walaupun tiada petunjuk trauma serius, pemantauan tetap diteruskan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kesan jangka panjang.
“Mangsa masih ditahan di wad bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.
Dr Mohd Azman turut menegaskan bahawa pendekatan rawatan holistik merangkumi aspek fizikal dan psikologi adalah penting khususnya dalam kes melibatkan kanak-kanak dan insiden tidak dijangka.
“Kesihatan mental adalah sebahagian daripada pemulihan keseluruhan pesakit dan tidak boleh diabaikan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

