Perpecahan punca umat Islam lemah, bukan Israel terlalu kuat - Mohamad Sabu

SHAH ALAM - Kekuatan sebenar Israel bukanlah terletak pada kehebatan ketenteraannya, sebaliknya berpunca daripada kelemahan umat Islam yang terus berpecah-belah, menurut pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah)
Presidennya Datuk Seri Mohamad Sabu, menegaskan, ketika Israel dan Amerika Syarikat bersatu padu menjayakan agenda Zionisme di Asia Barat, sebahagian umat Islam masih terperangkap dalam perbahasan sempit menyentuh soal perbezaan mazhab dan aliran teologi.
"Musuh tidak pernah peduli sama ada seseorang itu Sunni atau Syiah. Mereka tidak bertanya apa mazhab kamu sebelum menjatuhkan bom atau mengenakan sekatan.
"Bagi mereka, sesiapa yang menentang Zionisme adalah musuh yang mesti dihancurkan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohamad turut menarik perhatian bahawa sejarah membuktikan musuh menyasarkan pejuang daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira ideologi.
Beliau menamakan tokoh-tokoh Sunni seperti Sheikh Ahmad Yassin, Ismail Haniyeh, dan Yahya Sinwar, serta pemimpin Syiah seperti Sayyid Hassan Nasrallah dan Qassem Soleimani sebagai bukti bahawa penentangan terhadap Zionisme melangkaui batas mazhab.
Malah, beliau turut memetik peranan tokoh nasionalis dan sosialis Palestin seperti Leila Khaled dan George Habash yang turut mempertaruhkan nyawa demi pembebasan tanah air mereka.
"Ini membuktikan satu hakikat penting: Musuh memahami sesiapa sahaja yang menentang Zionisme adalah ancaman, tanpa mengira aliran politik atau ideologi.
"Namun malangnya, umat Islam pula berpecah atas perkara-perkara cabang (furuk) dan khilafiah," jelas beliau.
Mengulas lanjut, Mohamad melahirkan rasa kesal terhadap tindakan beberapa negara Islam kaya yang lebih mengutamakan kelangsungan rejim masing-masing berbanding pembelaan terhadap Palestin.
"Terdapat negara Islam yang membuka pintu seluas-luasnya kepada tentera asing dan menjadi pangkalan strategik Barat.
"Mereka membeli senjata bernilai berbilion dolar, tetapi bukan untuk mempertahankan Palestin, sebaliknya digunakan terhadap sesama umat Islam," ujarnya.
Beliau menyifatkan situasi ini sebagai satu tragedi besar di mana musuh bersatu atas kebatilan, manakala umat Islam berpecah walaupun berada di pihak yang benar.
Menyentuh mengenai gelombang solidariti global, Mohamad memuji rakyat di Eropah dan Amerika Latin yang bangkit menentang genosid Zionis, namun dalam masa yang sama mempersoalkan kegagalan dunia Islam untuk menunjukkan kesatuan yang serupa.
"Masjid dan surau kini dipenuhi perbahasan yang memecah-belahkan. Mimbar dan kuliah kadangkala lebih banyak menanam kebencian sesama Muslim daripada membina kesedaran terhadap musuh sebenar.
"Sudah tiba masanya umat Islam kembali kepada keutamaan sebenar perjuangan. Jangan bertelagah pada perkara kecil, tetapi bersatulah mempertahankan maruah umat dan menentang kezaliman di mana sahaja ia berlaku, sama ada di Palestin, Iran, mahupun Syria," tegasnya.
Beliau memberi amaran sekiranya umat Islam gagal bersatu, mereka akan terus menjadi umat yang hanya diperhitungkan pada angka yang ramai, namun lemah dalam tindakan dan lumpuh pada penyatuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

