'Kalau kena tangkap, siapa nak bayar'

Sarjan Mohd Sanusi (tengah) dan Lans Koperal Muhammad Zairi Mohd Nawi dari IPD Hulu Terengganu sewaktu membuat pemantauan di perkampungan orang Asli di Sungai Berua.
Sarjan Mohd Sanusi (tengah) dan Lans Koperal Muhammad Zairi Mohd Nawi dari IPD Hulu Terengganu sewaktu membuat pemantauan di perkampungan orang Asli di Sungai Berua.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Masyarakat Orang Asli Sungai Berua yang menganggap koronavirus (Covid-19) membahayakan dan boleh ditangkap polis jika keluar rumah tanpa sebab antara faktor penduduk patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lebih mengagumkan hanya sebilangan daripadanya keluar ke hutan berhampiran kediaman mereka apabila kekurangan bekalan makanan.

Rosli bersama cucunya, Ismadi Ismail Karim, 2.
Rosli bersama cucunya, Ismadi Ismail Karim, 2.

Tok Batin Sungai Berua, Rosli Desoh, 47, berkata, tiada antara mereka yang keluar ke bandar kerana patuh kepada arahan.

"Kami mendapat maklumat melalui televisyen dan internet. Apa yang kami tahu, virus ini sangat bahaya dan orang ramai tidak boleh keluar rumah tanpa sebab. Kalau tidak, akan ditangkap polis.

"Virus ini memang bahaya tapi kami paling takut masuk penjara. Nak bayar macam mana, itu sahaja yang kami fikir," katanya ketika ditemui perkampungan orang asli di Sungai Berua, di sini.

Menurut Rosli, bagi memastikan masyarakat di situ sedar bahaya wabak Covid-19 dan arahan sepanjang PKP, dia dan pemimpin masyarakat di situ termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Berua sentiasa mengingatkan penduduk.

Katanya, polis akan singgah di kawasan itu dan mengingatkan mereka supaya kekal di rumah sepanjang tempoh PKP.

Artikel Berkaitan:

Doren Mail, 60, sedang berehat di beranda rumahnya di perkampungan orang asli.
Doren Mail, 60, sedang berehat di beranda rumahnya di perkampungan orang asli.

Bercerita mengenai keperluan makanan, beliau berkata, kebanyakan lebih 500 penduduk di situ yang terdiri daripada 105 keluarga mengharapkan stok makanan yang ada selain bantuan makanan.

"Ada juga penjual dari luar yang datang menjual ikan, ayam. Ada bantuan yang kami terima tapi kebanyakan rumah antara lima hingga enam penghuni menyebabkan bekalan makanan cepat habis. Sebab itu ada yang terpaksa ke hutan untuk mendapatkan stok bekalan makanan.

"Ubi kayu juga ada untuk makan. Kalau tak cukup juga, ada yang ke rumah kawan, kita saling tolong-menolong.

"Cuma kita harapkan bantuan dihantar lebih kerap kerana takut bekalan makanan tidak cukup bagi menampung keperluan masyarakat di sini," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bertanya khabar dengan pemimpin masyarakat orang Asli di Sungai Berua.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bertanya khabar dengan pemimpin masyarakat orang Asli di Sungai Berua.