Lelaki robohkan rumah selepas dapat tahu bekas isteri mahu kahwin lain

PATI - Tular di media sosial memaparkan sebuah rumah dirobohkan selepas pemiliknya berpisah.
Kejadian itu berlaku di Desa Karangawen, Kecamatan Tambakromo, Kabupaten Pati, Jawa Tengah di Indonesia pada Khamis.
Kepala Desa Karangawen, Sutiyono mengesahkan langkah perobohan struktur itu dibuat hasil kesepakatan antara AR dan RT yang sudah pun bercerai.
"Kami sudah berbincang beberapa kali, namun keputusannya tetap sama," ujarnya.
Pasangan itu telah berpisah secara rasmi melalui keputusan dibuat Pengadilan Agama Sampit, Kalimantan yang menjadi lokasi pernikahan mereka sebelum ini.
Difahamkan, permohonan cerai dibuat pihak perempuan.
"Tanah lokasi itu milik bekas isterinya manakala rumah tersebut merupakan hasil sepencarian mereka. Pada mulanya, mereka merancang mahu memberikan rumah tersebut kepada anak tunggal mereka yang bersekolah menengah.
"Tetapi, masalah timbul apabila lelaki tersebut berang selepas bekas isterinya menerima lamaran lelaki lain," jelasnya lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

