[VIDEO] Bekas banduan dalang 'Geng Muncung' curi motosikal tumpas
PARIT - Seorang bekas banduan antara 11 lelaki ditahan polis kerana menubuhkan kumpulan ‘Geng Muncung’ yang aktif melakukan kegiatan curi motosikal di beberapa daerah di negeri ini sejak Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, lelaki berusia 27 tahun itu bertindak sebagai ketua kumpulan sebaik dibebaskan dari penjara dengan modus operandi menyasarkan motosikal jenis Yamaha 125ZR dan Yamaha Y15ZR (Y-Suku).
"Berdasarkan rekod polis, suspek yang dikenali sebagai 'Muncung' ini pernah terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan kecurian motosikal.
"Suspek menubuhkan kumpulan berkenaan dianggotai kalangan pengawal keselamatan, mekanik dan bekerja sendiri sebelum bergerak aktif di sekitar Perak Tengah, Manjung dan Ipoh," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, tangkapan terhadap semua suspek berusia lingkungan 21 hingga 46 tahun itu dilakukan susulan laporan kehilangan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR di hadapan sebuah kedai makan di Seri Iskandar pada 22 Mac lalu.
Katanya, hasil maklumat tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Perak Tengah dengan kerjasama Bahagian D4 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Perak melancarkan operasi besar-besaran menjejaki suspek terlibat selama lima hari bermula 29 Mac lalu.
"Dengan tangkapan tersebut, polis turut berjaya membuat rampasan terhadap lima motosikal yang telah dileraikan, komponen enjin dan alat ganti selain penemuan satu paket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine seberat 0.56 gram.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.
Mengulas lanjut, Hafezul Helmi berkata, setiap motosikal yang dicuri akan dileraikan dan dijual kepada individu sebagai alat ganti, manakala bahagian yang tidak boleh dijual seperti nombor casis dipotong dan dibuang ke dalam sungai bagi menghapuskan bukti.
“Polis berjaya menemui semula beberapa komponen motosikal di sungai hasil tunjuk arah suspek,” katanya.
Menurutnya, siasatan juga mendapati, kumpulan tersebut menggunakan khidmat ‘pointer’ iaitu individu yang memberi maklumat mengenai lokasi dan masa sesuai untuk mencuri motosikal.
"Suspek dikesan bertindak mematahkan hendal dan memintas suis kunci sebelum melarikan motosikal.
"Dalam satu kes di Seri Iskandar, seorang pengawal keselamatan apartmen bertindak sebagai ‘pointer’ dengan mengenal pasti motosikal yang mudah dicuri sebelum memaklumkan kepada kumpulan untuk bertindak,” katanya.
Beliau berkata, dengan tangkapan tersebut, polis berjaya menyelesaikan 10 kes kecurian motosikal yang dilaporkan sejak Januari tahun ini melibatkan tiga daerah.
Tambahnya, pihak polis kini sedang mengesan dua lagi ahli kumpulan berkenaan dikenali Sapik dan Akim yang masih bebas bagi membantu kes di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
"Sebagai langkah keselamatan, polis menasihatkan pemilik motosikal supaya mengambil langkah tambahan termasuk memasang kunci ketiga bagi mengurangkan risiko kecurian," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Farah Ellyana Liki Maliki di talian 013-8927218.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

