'Tukar baju lama jadi duit'

TERENGGANU – Niat mahu membantu orang lain mengosongkan almari akhirnya membuka rezeki buat seorang usahawan wanita di sini apabila perniagaan pakaian terpakai yang diusahakan bersama suaminya mendapat perhatian ramai di media sosial.
Suhaida Muhammad, 39, atau lebih dikenali sebagai Ahsue berkata, idea memulakan perniagaan tersebut tercetus apabila menyedari ramai individu memiliki pakaian yang masih elok tetapi tidak lagi dipakai.
Menurutnya, pakaian berkenaan sebenarnya masih mempunyai nilai dan boleh dimanfaatkan oleh orang lain yang memerlukan pada harga lebih murah.
“Saya mula dengan niat nak bantu orang yang mahu kosongkan almari daripada baju yang tidak dipakai. Daripada dibuang, lebih baik tukar jadi duit untuk belanja harian mereka.

“Pada masa sama terdapat juga peniaga yang sentiasa mencari bekalan pakaian lama untuk dijual semula, sekali gus membuka peluang perniagaan kepada saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ahsue dari Kampung Binjai Bongkok, Bukit Payong berkata, kini dia dan suami memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan pakaian terpakai yang diusahakan dari rumah.
Menurutnya, permintaan terhadap pakaian lama terutama baju kurung tradisional ketika ini sangat tinggi, namun dia lebih memberi tumpuan kepada jualan secara borong kepada penjual tetap.
“Permintaan memang tinggi, tetapi saya fokus kepada pemborong sahaja. Biasanya harga yang disenaraikan sekitar RM10 hingga RM15 sepasang,” katanya.
Dalam pada itu, Ahsue berkata, beberapa video yang dimuat naik di TikTok berkaitan perniagaannya turut mendapat perhatian ramai sehingga tular di platform tersebut.
Ujarnya, dia berharap pakaian lama berkenaan terus dipakai oleh golongan muda dan tidak dibuang kerana setiap helaian mempunyai nilai serta kenangan tersendiri.
“Emas tiada, baju ada... mari datang hantar ke kedai Sue, Sue tukarkan jadi duit,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
