IIUMMC Kuantan terima dana beli alat bantuan pernafasan

Dr Mohamed Saufi (kiri) menerima sumbangan topeng muka dan cecair pencuci tangan daripada KIWF untuk kegunaan kakitangan di Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMMC) Kuantan.
Dr Mohamed Saufi (kiri) menerima sumbangan topeng muka dan cecair pencuci tangan daripada KIWF untuk kegunaan kakitangan di Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMMC) Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUMMC) Kuantan menerima sumbangan dana sebanyak RM150,000 daripada Yayasan Wakaf Antarabangsa Khadijah (KIWF) bagi membeli alat bantuan pernafasan.

Pengarah IIUMMC, Profesor Datuk Dr Mohamed Saufi Awang berkata, alat bantuan pernafasan yang dilengkapi dengan ventilator dan paparan skrin itu untuk kegunaan pesakit yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Menurutnya, sumbangan KIWF tepat pada masanya dan memberi manfaat besar kepada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan di ICU IIUMMC.

"Diharap sumbangan ini dapat membantu pihak yang memerlukan secara berterusan dan seterusnya mengeratkan lagi hubungan antara IIUMMC dengan KIWF," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan dana berkenaan daripada Pengarah KIWF, Rohani Datuk Mohd Shahir hari ini.

Pada program itu, KIWF turut menyumbangkan sebanyak 350 botol cecair pencuci tangan dan 2,500 topeng muka untuk kegunaan petugas kesihatan.

Dr Mohamed Saufi berkata, bagi pihak IIUMMC beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak KIWF yang memilih IIUMMC untuk menyalurkan sumbangan.

"Projek wakaf yang diusahakan itu sejajar dengan aspirasi Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Tan Seri Dzulkifli Abdul Razak yang sering mengutarakan idea betapa pentingnya budaya wakaf disemai dan dipupuk oleh masyarakat negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan: