Perang Iran: Kejutan ekonomi untuk Asia Tenggara

Perhatian dunia tertumpu kepada kapasiti ketenteraan dan geopolitik Aapabila AS dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Februari 2026.
Perhatian dunia tertumpu kepada kapasiti ketenteraan dan geopolitik Aapabila AS dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Februari 2026.
A
A
A

APABILA Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada 28 Februari 2026, perhatian dunia tertumpu kepada kapasiti ketenteraan dan geopolitik.

Namun dalam beberapa hari sahaja, kesannya mula dirasai di rantau kita — di stesen minyak, di pasar raya dan dari segi kos menjalankan perniagaan. Bagi Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara, konflik yang berlaku ribuan kilometer jauhnya kini mempengaruhi harga barang asas, bekalan tenaga serta prospek pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi.

Selat Hormuz — laluan sempit antara Iran dan Oman — merupakan antara laluan tenaga paling penting di dunia. Kira-kira satu perlima bekalan minyak global dan sebahagian besar gas asli cecair (LNG) melalui laluan ini. Apabila Iran bertindak menyekat laluan tersebut, pergerakan kapal tangki hampir terhenti dan bekalan tenaga dunia terganggu mendadak.

Harga minyak mentah Brent meningkat daripada sekitar AS$70 kepada melebihi AS$100 setong dalam tempoh sepuluh hari dan kini didagangkan sekitar AS$120. Harga LNG di Asia pula melonjak lebih 140 peratus.

Namun kesannya tidak terhad kepada tenaga sahaja. Rantau Teluk juga merupakan pengeluar utama baja, bahan petrokimia dan helium. Gangguan kepada bekalan ini memberi kesan berantai kepada sektor pertanian, pembuatan semikonduktor dan industri makanan di seluruh dunia.

Malaysia bukan sekadar pengimport tenaga — kita mempunyai kapasiti pengeluaran sendiri melalui Petronas dan kenaikan harga minyak turut meningkatkan hasil negara. Namun pada masa sama kebergantungan kepada import masih tinggi.

Pada tahun 2025, sekitar 69 peratus import minyak mentah dan kondensat Malaysia datang dari Timur Tengah. Ini bermakna gangguan di rantau tersebut tetap memberi kesan kepada ekonomi domestik.

Beberapa kesan awal telah mula kelihatan: pengeluar makanan memberi amaran kenaikan harga akibat kos diesel, pengeluar baja menangguhkan tempahan baharu yang boleh menjejaskan pengeluaran sawit dan industri semikonduktor menyuarakan kebimbangan terhadap bekalan helium.

Di peringkat serantau, konflik ini mendedahkan betapa terhadnya simpanan tenaga di pelbagai negara Asia Tenggara. 65 hingga 95 peratus bekalan minyak mentah Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam bergantung pada import. Walaupun Malaysia merupakan pengeksport tenaga bersih, 69 peratus import minyak mentahnya adalah dari Teluk. Ini bermakna tiada satu pun negara di rantau ini yang tidak terkesan.

Artikel Berkaitan:

Beberapa langkah yang mirip dengan tindakan semasa Covid-19 telah diambil: Filipina melaksanakan minggu kerja empat hari bagi sektor kerajaan, Thailand dan Vietnam menggalakkan kerja dari rumah, Myanmar mengenakan had penggunaan kenderaan secara bergilir hari dan Malaysia turut melaksanakan program bekerja dari rumah untuk sektor awam. Dalam masa yang sama, kekurangan bahan api mula dilaporkan di Laos, Kemboja dan sebahagian Thailand.

Rangkaian tenaga serantau berada di bawah tekanan yang amat berat apabila China dan Thailand mengehadkan eksport bahan api bertapis dan pelbagai negara mengutamakan bekalan domestik. Vietnam pula telah menggantung eksport bahan api manakala Thailand melarang eksport bahan api jet. Beberapa syarikat petrokimia di Singapura dan Indonesia telah pun mengisytiharkan force majeure.

Menteri-menteri ekonomi ASEAN memberi amaran kos penghantaran, insurans dan logistik telahpun merancakkan tekanan inflasi yang bakal meningkatkan harga makanan dan barangan keperluan serantau.

Malaysia masih mempunyai kelebihan — setakat ini berbanding beberapa negara jiran, Malaysia berada dalam kedudukan lebih stabil. Dalam situasi di mana rizab Vietnam berada pada paras membimbangkan, Kemboja terpaksa bergegas mengimport bekalan kecemasan dan Filipina mengurangkan minggu bekerja sektor awam kepada empat hari, keputusan kerajaan Malaysia mengekalkan RON95 pada RM1.99 seliter di bawah skim BUDI95 melindungi puluhan juta rakyat daripada kejutan harga lebih teruk pada saat pengguna di negara lain berdepan kenaikan antara 30 hingga 50 peratus.

Pasukan keselamatan Israel dan petugas kecemasan memeriksa lokasi serangan peluru berpandu Iran yang menimpa kawasan kediaman di Petah Tikva. - AFP
Pasukan keselamatan Israel dan petugas kecemasan memeriksa lokasi serangan peluru berpandu Iran yang menimpa kawasan kediaman di Petah Tikva. - AFP

Mekanisme

Selain itu, mekanisme kawalan harga barangan asas — yang sering dipersoalkan dalam keadaan biasa — terbukti penting dalam mengekang tekanan inflasi ketika krisis di saat negara lain bersiap menghadapi lonjakan.

Usaha diplomatik turut memainkan peranan penting. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dengan pemimpin di Iran, Mesir, Türkiye dan negara lain bagi memastikan kapal Malaysia masih mendapat laluan selamat melalui kawasan tersebut – satu kelebihan yang lahir daripada dasar Malaysia sejak sekian lama untuk mengekalkan hubungan baik di seluruh dunia Islam.

Dalam hal ini, diplomasi diterjemahkan secara langsung kepada kapal yang dapat berlayar, bekalan bahan api yang tiba dan rantaian bekalan yang terus bertahan ketika negara lain mula lumpuh. Apabila digabungkan dengan kepakaran Malaysia dalam sektor pembuatan bernilai tinggi serta asas perindustrian pelbagai, negara ini sedang menghadapi badai ini dari kedudukan yang boleh dikatakan kukuh — hasil daripada puluhan tahun pembangunan institusi dan pengurusan krisis aktif.

Cabaran sememangnya tetap wujud: harga makanan akan terus menerima tekanan apabila kos logistik dan baja meningkat, dan isi rumah B40 akan paling terkesan. Namun benteng yang wujud hari ini ‘menyediakan’ tempoh masa yang amat berharga untuk Malaysia — satu kelebihan yang tidak dimiliki oleh banyak negara jiran.

Krisis ini sebenarnya mempercepatkan lagi usaha ke arah tenaga boleh baharu. Malaysia ada kelebihan besar dalam solar dan hidro, dan mengurangkan kebergantungan kepada minyak mentah dari Timur Tengah kini menjadi soal keselamatan negara. Dalam masa yang sama, projek ASEAN Power Grid — jaringan elektrik serantau — kembali diberi perhatian yang lebih serius.

Hakikatnya, kita masih lebih banyak berdagang dengan negara di luar rantau ASEAN berbanding jiran sendiri. Jika ASEAN dapat membina rantaian bekalan lebih efisien dan kukuh — melibatkan makanan, baja, farmaseutikal dan bahan industri — kita akan kurang terdedah gangguan luar. Ini boleh berlaku jika kita kurangkan halangan bukan tarif, perbaiki logistik serantau, selaraskan standard, dan wujudkan stok simpanan bersama untuk komoditi penting dan strategik.

Larangan eksport dan penimbunan bekalan yang berlaku baru-baru ini satu peringatan. Jika ASEAN gagal bekerjasama ketika krisis, usaha integrasi ekonomi hanya tinggal cakap kosong. Tetapi jika kita berjaya, ASEAN jadi lebih kuat.

Konflik di Iran mengingatkan kita tiada negara yang benar-benar kebal daripada kesan konflik global. Namun ia juga mengingatkan kita bahawa persediaan itu penting, institusi itu penting dan pilihan yang dibuat oleh kerajaan pada waktu biasa menentukan sejauh mana rakyat dilindungi pada waktu yang luar biasa.

*Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!