Hanya lima jemputan setahun

PASIR MAS – Di sebalik gemersik paluan gendang dan lenggok lembut yang melentik, seni tari inai yang suatu ketika dahulu menjadi ‘nadi’ kemeriahan majlis Melayu kini berdepan risiko lenyap.
Perubahan selera masyarakat dan kurangnya pendedahan terhadap seni tradisi dilihat antara punca ia semakin terpinggir dalam arus pemodenan, selain tidak lagi menepati cita rasa generasi muda.
Kehilangan minat itu bukan sahaja merencatkan kelangsungannya, malah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penggiat tradisi yang masih setia mempertahankannya.
Bagi Abdullah Harman Abdullah, 50, dari Kampung Bakong Dalam, Meranti, tari inai bukan sekadar hiburan, sebaliknya warisan hidup yang diwarisi sejak tujuh generasi.
“Namun hari ini, nadi itu semakin perlahan. Saya generasi ketujuh yang mewarisi tari inai ini. Sejak kecil lagi saya dibesarkan dengan seni ini tetapi sekarang makin kurang orang yang mahu melihatnya,” katanya.

Menurut Abdullah Harman, suatu ketika dahulu, tari inai menjadi pelengkap wajib majlis berkhatan, perkahwinan dan acara kebesaran istana, namun kini suasana itu hanya tinggal kenangan.
“Malam berinai dulu hampir pasti ada tari inai tetapi sekarang hanya segelintir yang masih mengekalkannya, itu pun semakin jarang,” ujarnya.
Lebih menyentuh perasaan, Abdullah Harman mengakui sepanjang 2024, dia hanya menerima satu jemputan persembahan, sebelum meningkat kepada lima pada tahun lalu, semuanya di Kelantan.
Tambahnya, jumlah itu jauh berbeza berbanding dahulu apabila undangan datang silih berganti.
“Seni ini semakin dipinggirkan, bukan sebab ia tidak indah tetapi mungkin kerana generasi sekarang tidak lagi mengenalinya.
“Di Kelantan kini hanya ada saya dan Mohd Zukri Mohd Yusof serta anak lelakinya yang masih mempertahankan seni ini,” katanya.

Menurutnya, bayaran sekitar RM1,000 bagi satu persembahan sering dianggap tinggi, namun hakikatnya perlu dikongsi bersama kumpulan pemuzik termasuk pemain gendang dan serunai, selain menampung kos peralatan.
Di sebalik usaha mempertahankan warisan itu, Abdullah Harman bekerja sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan Kedondong bagi menyara keluarga.
Namun, kekangan hidup tidak pernah menjadi alasan untuk meninggalkan seni yang sudah sebati dalam dirinya.
“Saya teruskan juga sebab ini warisan keluarga. Kalau saya berhenti, mungkin tiada lagi yang akan menyambungnya,” katanya.
Menurutnya, keunikan tari inai bukan sahaja pada gerak tari yang lemah gemalai walaupun dipersembahkan oleh lelaki tetapi juga interaksi dengan penonton termasuk menerima wang sebagai tanda penghargaan.
“Kalau tidak dipelihara sekarang, saya takut suatu hari nanti tari inai ini hanya tinggal nama.
“Ini bukan sekadar tarian, ini identiti kita. Jangan biarkan ia ‘mati’ tanpa diwarisi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

