Hukuman mati: Rahim Noor cadang adakan referendum

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor bercakap kepada pemberita pada sidang media di ibu negara, hari ini.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor bercakap kepada pemberita pada sidang media di ibu negara, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor mencadangkan satu referendum diadakan sebelum keputusan pemansuhan hukuman mati mandatori dibawa ke Dewan Rakyat pada sesi akan datang.

Menurut Abdul Rahim, beliau secara peribadi tidak bersetuju dan sangat terkilan dengan keputusan kerajaan sekiranya hukuman mati itu dihapuskan.

“Secara prinsipnya, berani buat, berani tanggung. Hukuman setimpal perlu dikenakan ke atas pesalah.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Bentang RUU mansuh hukuman mati tahun depan ]

"Sekiranya terbukti pesalah terbabit melakukan jenayah bunuh, hukuman setimpal perlu dikenakan, dijatuhkan hukuman mati. Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan pemansuhan hukuman mati ini...saya merayu kerajaan meneliti semua perkara ini," katanya pada satu sidang media di ibu negara.

Abdul Rahim berkata, kebanyakan negara-negara Asia masih mengamalkan hukuman mati terhadap pesalah yang melakukan pembunuhan.

“Budaya di negara Asia memandang berat nyawa mangsa selain sangat menghormati perasaan ahli keluarga yang terbabit dalam pembunuhan.

"Jelas sekali, Malaysia tidak boleh disamakan dengan negara lain yang telah memansuhkan hukuman mati seperti Amerika Syarikat dan Eropah.

Artikel Berkaitan:

"Malah ada negara yang telah memansuhkan hukuman mati kemudiannya mengambil keputusan untuk melaksanakannya semula dengan alasan kadar jenayah berat mereka semakin meningkat," katanya.

Abdul Rahim berkata, secara peribadi beliau mengambil kefahaman bahawa sekiranya hukuman mati ini dimansuhkan, kadar jenayah negara akan meningkat kerana penjenayah beranggapan mereka tidak akan dikenakan hukuman mati.

“Sekiranya penjenayah terbabit hanya dikenakan hukuman penjara 30 tahun atau penjara seumur hidup, apa perasaan ahli keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang.

"Malah kerajaan terpaksa menanggung makan, pakaian dan perubatan pesalah ini selama berpuluh tahun atau seumur hidupnya dipenjara, ini tidak mendatangkan gerun kepada pesalah.

“Dan di mana letaknya keadilan kepada mangsa sekiranya penjenayah terbabit tidak dikenakan hukuman mati setimpal dengan perbuatannya yang bertindak sama ada menembak, mencekik atau menikam mangsa,” katanya.

Abdul Rahim memberitahu, keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati adalah mendadak dan sangat drastik.

"Ini adalah perkara besar dan kerajaan sebenarnya sangat wajar mengambil kira pandangan rakyat yang mahukan hukuman mati ini dikekalkan.

“Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan di media sosial, lebih 80 peratus penduduk Malaysia mahu hukuman ini dikekalkan.

"Walaupun telah diputuskan di Kabinet, namun perkara ini masih boleh dikaji semula,” katanya.

Abdul Rahim menambah, beliau juga tidak faham mengapa ada pihak yang begitu menyokong pemansuhan hukuman mati ini.

"Alasannya kerana hak asasi manusia. Pernahkah mereka ini (pejuang hak asasi manusia) menubuhkan jawatankuasa khas membuat kajian tentang waris atau keluarga mangsa bunuh," katanya lagi.

Pada 13 November lepas, jemaah menteri memutuskan hukuman mati bagi 32 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bernama sebelum ini melaporkan rang undang-undang berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori dijangka dibentang pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang dan Jabatan Peguam Negara kini dalam peringkat akhir menyediakan kertas perundangan untuk tujuan berkenaan.

Menurut takwim daripada portal rasmi Parlimen, sesi Dewan Rakyat seterusnya akan berlangsung dari 11 Mac hingga 11 April 2019.