Apa nasib Liga-M?

Saingan Liga-M mula ditangguhkan sejak 16 Mac lalu ekoran pandemik Covid-19. - Foto Facebook TERENGGANU FC
Saingan Liga-M mula ditangguhkan sejak 16 Mac lalu ekoran pandemik Covid-19. - Foto Facebook TERENGGANU FC
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlu mencari penyelesaian terbaik mengenai status Liga Malaysia (Liga-M) musim ini jika perlawanan terpaksa dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri berkata, pihaknya menjangkakan perbelanjaan pasukan akan meningkat di sebalik ketiadaan pendapatan kutipan tiket pada hari perlawanan.

“Memang dari segi wang kutipan jualan tiket tidak menjejaskan PAFA untuk membayar gaji para pemain tetapi ia tetap memberikan kesan kepada kewangan persatuan.

“Kami mungkin menghadapi masalah dari segi kos sewa padang dan pengendalian pertandingan yang sememangnya menelan perbelanjaan yang tinggi. Dalam tidak ada pendapatan (hasil kutipan jualan tiket) tetapi persatuan terpaksa keluarkan perbelanjaan lagi.

“Jika ada kutipan tiket itu mungkin boleh membayar kos-kos tersebut. FAM dan MFL kena ambil kira perkara ini sebelum membuat sebarang kata putus,” katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media memaklumkan bahawa perhimpunan ramai tidak digalakkan dalam tempoh enam bulan hingga setahun.

Situasi itu mula menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak tanah air sama ada Liga-M akan dibatalkan atau dilangsungkan tanpa kehadiran penonton.

Mohamad Azlin berkata, PAFA akan tetap akur dengan sebarang keputusan yang dibuat FAM dan MFL termasuk bermain tanpa penonton ataupun keputusan lebih drastik untuk terus membatalkan saingan liga musim ini.

Artikel Berkaitan:

“Kami lebih kepada melihat hala tuju liga ini dan keputusan yang akan dibuat FAM dan MFL. Jika batal liga memberikan ‘situasi menang-menang’ kepada semua pihak, apa salahnya.

“Apa pun, FAM dan MFL harus menyediakan garis panduan kepada pasukan dan pemain duduk berbincang mengenai kontrak dan sebagainya,” jelasnya.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mencadangkan Liga-M dibatalkan jika saingan musim ini terpaksa diteruskan tanpa kehadiran penonton.

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, jika perlawanan diadakan tanpa penonton, ia akan memberi kesan besar kepada Kelantan yang banyak bergantung kepada jualan tiket.

“Kalau tanpa penonton kita tidak akan ada sumber pendapatan sebab kita bergantung kepada kutipan tiket. Ia satu kerugian besar kepada Kelantan.

“Jika mahu teruskan liga, FAM dan MFL perlu cari jalan lain. Mungkin boleh menstrukturkan balik liga dengan menutup saingan 2020 dan memulakan saingan 2021 lebih awal,” jelasnya.