Maut ditikam rakan senegara sebelum terjatuh dari tingkat lima

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang warga Myanmar ditemukan meninggal dunia dipercayai ditikam sebelum terjatuh dari tingkat lima sebuah flat di Taman Pelangi, Bukit Tengah di sini petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata, mangsa berusia 30 tahun dipercayai ditikam oleh rakan senegaranya selepas bergaduh di kediaman mereka yang merupakan asrama pekerja.

Menurutnya, mayat mangsa dengan kecederaan di bahagian kepala ditemukan dalam keadaan terbaring di bawah blok perumahan tersebut kira-kira jam 4.05 petang.

"Polis menerima panggilan kecemasan berhubung pergaduhan melibatkan dua lelaki warga asing yang mana salah seorang daripada mereka ditemui dalam keadaan tidak sedar selepas terjatuh dari tingkat lima flat tersebut. Hasil siasatan, ketika kejadian hanya mangsa dan rakannya sahaja di asrama berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati mangsa dikelar di leher dipercayai menggunakan senjata tajam. Suspek yang berusia 25 tahun dipercayai turun melihat keadaan mangsa yang terjatuh namun dia turut terbaring di sebelah mangsa kerana mengalami kecederaan di leher. Turut ditemui pisau pemotong daging di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mohd Mustafa berkata, daripada keterangan jiran mereka yang merupakan wanita Indonesia, mangsa dan suspek didapati bergaduh pada jam 1 petang, namun dia tidak faham kerana kedua-duanya menggunakan bahasa Myanmar.

"Siasatan mendapati rumah tersebut didiami enam orang pekerja kilang termasuk mangsa dan suspek. Ketika kejadian, empat pekerja telah keluar bekerja. Kesemua mereka tinggal di kediaman tersebut yang dijadikan sebagai asrama pekerja oleh pihak kilang.

"Suspek yang cedera di bahagian leher dihantar ke Wad Kecemasan Hospital Seberang Jaya untuk rawatan. Dia akan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel Berkaitan: