AS akan tinggalkan Iran secepat mungkin dan kembali jika perlu - Trump

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) akan berundur dari Iran “secepat mungkin” tetapi bersedia kembali untuk melancarkan serangan terhad sekiranya perlu, kata Presiden Donald Trump dalam wawancara bersama Reuters pada Rabu.
Kenyataan itu dibuat menjelang beberapa jam sebelum beliau dijadual menyampaikan ucapan utama mengenai perkembangan perang tersebut.
Konflik yang kini memasuki minggu kelima itu berlaku ketika Trump berdepan tekanan domestik berikutan kenaikan harga petrol serta desakan supaya mencari jalan keluar yang jelas.
Ucapan Presiden dijadualkan pada jam 9 malam (waktu tempatan) untuk menggariskan hala tuju seterusnya dalam usaha Washington menangani ketegangan serantau.
Trump turut menyatakan beliau akan menggunakan ucapannya untuk menyuarakan rasa kecewa terhadap NATO yang didakwa gagal menyokong objektif AS di Iran.
Beliau mengakui sedang “mempertimbangkan sepenuhnya” langkah menarik AS keluar daripada pakatan ketenteraan itu.
Hubungan AS–Eropah juga semakin tegang selepas sekutu Eropah menolak permintaan Washington untuk membantu memastikan keselamatan pergerakan kapal minyak melalui Selat Hormuz
Mengulas tempoh tamat perang, Trump enggan memberikan jadual terperinci namun menegaskan AS akan menarik keluar tenteranya “secepat mungkin.”
“Kita akan keluar dengan cepat… dan jika perlu, kita akan kembali melakukan ‘spot hits’,” katanya dalam wawancara telefon tersebut.
Trump menegaskan, gelombang serangan awal AS telah mengakibatkan kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei serta beberapa pegawai kanan lain.
Susulan itu, Iran kini berada di bawah kepimpinan anak beliau, Mojtaba Khamenei yang didakwa AS dipercayai cedera dan mungkin mengalami kecacatan akibat serangan tersebut.
Trump menegaskan: “Saya tidak perlukan perubahan rejim, tetapi kita mendapatnya kerana korban perang.”
Presiden AS itu turut yakin peluang mencapai perjanjian semakin cerah kerana, katanya, “mereka tidak mahu terus dibedil lagi.”
Menurut Trump, tujuan utama Washington melancarkan perang bagi memastikan Iran tidak membangunkan senjata nuklear, kini telah dicapai.
Walaupun sebahagian besar uranium Iran yang diperkaya disimpan di kompleks bawah tanah yang sukar ditembusi, Trump berkata: “Ia terlalu jauh di bawah tanah… saya tidak kisah tentang itu. Kita akan memantau melalui satelit.”
AS mendakwa Iran kini “tidak lagi berupaya” menghasilkan senjata nuklear, sesuatu yang dinafikan oleh Teheran yang berulang kali menegaskan program nuklearnya bersifat aman.
Menurut sumber yang dipetik Reuters, Naib Presiden AS, JD Vance telah mengadakan perbincangan melalui perantara di Pakistan dan menyampaikan mesej bahawa Trump terbuka kepada gencatan senjata sekiranya beberapa tuntutan AS dipenuhi.
Iran bagaimanapun menafikan wujudnya rundingan di belakang tabir itu. - Awani
Ringkasan AI
- AS akan berundur dari Iran secepat mungkin, tetapi bersedia untuk melancarkan serangan terhad jika perlu.
- Trump menyuarakan kekecewaan terhadap NATO yang gagal menyokong objektif AS di Iran.
- Hubungan AS-Eropah tegang selepas sekutu Eropah menolak permintaan Washington untuk membantu keselamatan di Selat Hormuz.
- Trump menegaskan tujuan utama perang adalah untuk memastikan Iran tidak membangunkan senjata nuklear.
- Trump mendakwa Iran kini tidak berupaya menghasilkan senjata nuklear walaupun Teheran menafikan program nuklearnya berbahaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
